am@hmetro.com.my
Rantau Panjang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan menegaskan bahawa Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok masih berjalan dengan kawal selia teknikal yang teratur.
Bagaimanapun, Pengarah JPS Kelantan, Dr Siti Fairus Zakaria berkata, berlaku sedikit kelewatan disebabkan faktor cuaca tidak menentu, koordinasi tapak dan cabaran logistik.
Beliau berkata, fasa awal PLSB (Sungai Golok Fasa Tiga) adalah termasuk kerja reka bentuk terperinci teknikal, analisis hidraulik, kerja penyiasatan tanah, kerja ukur dan penyediaan dokumen perolehan tidak semestinya membabitkan aktiviti fizikal di tapak.
Katanya, pemantauan oleh pegawai teknikal daerah dan negeri sentiasa dilaksanakan bagi memastikan kemajuan projek adalah mengikut jadual yang ditetapkan.
“Projek ini termasuk PLSB Jalan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) membabitkan laluan Kampung Jeram Perdah ke Pengkalan Kubor, Tumpat dijadual siap pada 2028.
“(Tetapi), ia tertakluk kepada kelulusan tambahan dan penyusunan semula jadual kerja oleh kontraktor,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Semalam, Harian Metro melaporkan projek PLSB Sungai Golok yang dilihat terbengkalai sejak dua tahun lalu meresahkan lebih 30,000 penduduk di daerah ini.
Rata-rata penduduk bimbang ia mungkin menjadi punca banjir lebih besar, malah sudah terbukti hampir 90 peratus kawasan penempatan itu dilanda banjir sebelum ini.
Mengenai pembinaan tembok di negara jiran, Siti Fairus, JPS Kelantan sentiasa memantau perkembangan kerja pembinaan tembok oleh pihak berkuasa Thailand khususnya di kawasan berhampiran PLSB Sungai Golok.
“Selain itu, kerjasama teknikal di antara dua negara melalui Jawatankuasa Teknikal Sempadan Malaysia-Thailand terus diperkukuh.
“Kami turut menjalankan simulasi hidraulik untuk menyemak impak perubahan aliran air akibat struktur di seberang dan sedang merangka langkah mitigasi yang sesuai,” katanya.
Berkaitan cadangan beberapa pihak untuk membina jambatan atau membelah sungai, Siti Fairus berkata, pendekatan itu memerlukan kajian impak terperinci.
Menurutnya, ia kerana secara prinsipnya, sebarang perubahan terhadap laluan sungai utama perlu dinilai secara hidrologi dan geoteknikal bagi mengelakkan kesan buruk seperti hakisan, banjir kilat atau ketidakstabilan struktur di hiliran.
Katanya, jika tindakan berkenaan tidak dikawal, ia boleh mengganggu keseimbangan sistem sungai sedia ada dan menyebabkan impak yang lebih besar kepada penduduk.
“Kami juga sedang mengkaji keperluan pembinaan laluan pelepas air tambahan sebagai komponen tambahan dalam Pelan Induk Tebatan Banjir Sungai Golok,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff merayu Kerajaan Persekutuan segera mengambil tindakan sewajarnya terhadap kesan daripada tembok dibina oleh Kerajaan Thailand.
Katanya, setiap kali Parlimen bersidang, beliau tidak pernah gagal untuk mengangkat isu itu melalui soalan rasmi kepada pihak kerajaan namun jawapan yang diterima belum nampak sebarang tindakan konkrit.
“Tembok itu bukan sahaja menahan aliran air, tetapi menyebabkan banjir menjadi lebih buruk dan lama surut.
“Rakyat kita menjadi mangsa kesan akibat tembok yang dibina dan ini jelas bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd