Papuh dakwa dianiaya

Papuh dakwa dianiaya

Kuala Lumpur: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh) mendakwa teraniaya susulan keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan terhadap 81 ahlinya.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, ini kerana kesemua syarikat itu sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Menurutnya, kesemua syarikat berkenaan juga tidak pernah mengadakan pakatan perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah di negara ini sejak tahun lalu.

Begitupun katanya, apa yang mengecewakan ada di kalangan syarikat itu dikenakan penalti kewangan hingga mencemar reputasi dan nama baik mereka.

“81 syarikat ini adalah sebahagian daripada 300 syarikat yang hadir Mesyuarat Agung Tahun Papuh pada tahun 2022.

“Mereka akur dengan MyCC yang minta menyediakan dokumen dan data. Mereka disaman sedangkan mereka mematuhi undang-undang berbanding yang tidak hantar dokumen tidak dikenakan apa-apa.

“Paling tinggi dikenakan penalti RM10 juta berdasarkan 10 peratus daripada perolehan mereka,” katanya.

Tambah Razali tindakan yang dikenakan MyCC ke atas syarikat tidak menggambarkan perjanjian penetapan harga di kalangan mereka.

Katanya, ini kerana harga pakej umrah yang dikenakan syarikat itu adalah berbeza di kalangan mereka malah ada harga tidak sama yang disarankan kementerian.

Razali mengesahkan akan bertemu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam masa terdekat bagi membincangkan isu itu selain barisan peguam Papuh mengambil tindakan undang-undang.

Baru-baru ini, MyCC mengeluarkan keputusan cadangan terhadap 81 perusahaan kerana dipercayai terbabit dengan perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia bermula pada 2023.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dalam kenyataan memaklumkan perlakuan kartel mereka boleh dianggap sebagai pelanggaran di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Mohd Hishamudin menjelaskan keputusan cadangan dikeluarkan MyCC adalah dapatan awal, maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang dinyatakan telah melanggar Akta Persaingan 2010 pada tahap ini.

Menurutnya, seperti diperuntukkan dalam akta berkenaan, semua perusahaan yang dinamakan dalam keputusan cadangan itu telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan MyCC.

“Perusahaan-perusahaan ini diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan.

“Selepas itu, mereka juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada MyCC pada tarikh yang akan ditetapkan kelak,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan terbabit bersama bukti yang diperoleh semasa proses penyiasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top