helmi.talkah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pemain badminton para, Cheah Liek Hou menegaskan dia tidak tertekan dengan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahunya bagi menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara.
Sebaliknya, juara dunia enam kali itu yang dibimbing Datuk Rashid Sidek berkata, dia sedia menyahut cabaran berkenaan dan secara peribadi memang dia meletakkan sasaran untuk membawa pulang emas dari Tokyo.
“Tekanan itu memang ada tetapi saya tidak mahu terlalu fikir mengenainya. Saya mahu lebih fokus terhadap persiapan bagi menghadapi setiap perlawanan saya nanti.
“Sebelum ini sasaran saya adalah untuk mara ke final tetapi selepas melihat peningkatan prestasi dalam latihan dan pencapaian yang saya raih sebelum ini, saya bertambah yakin dan menukar sasaran untuk memenangi emas.
“Di Tokyo nanti, saya perlu kekal tenang dan bijak mengatasi tekanan,” kata Liek Hou yang akan membuat penampilan sulung di pentas Paralimpik selepas kali pertama badminton di pertandingan di temasya berprestij dunia itu.
Liek Hou antara lima atlet para negara yang diletakkan sandaran bagi merealisasikan sasaran tiga emas yang diletakkan buat kontinjen negara selain dua atlet olahraga, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly; atlet memanah, S Suresh dan jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin.
Pemain berusia 33 tahun itu yang akan beraksi dalam kategori SU5 ((berdiri/ kemerosotan anggota badan atas) mendapat tonik terbaik sebelum aksi di Tokyo apabila dia muncul muncul juara dalam Kejohanan Para Badminton Antarabangsa sebanyak enam kali berturut-turut sejak 2019 sehingga 2021.
Dia yang berada di kedudukan ranking nombor dua dunia muncul juara pada kejohanan di Denmark, Jepun, Brazil, Peru, Emiriah Arab Bersatu dan Sepanyol.
Saingan bagi badminton akan bermula pada 1 September ini untuk aksi peringkat kumpulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd