Sebuah lagi karya filem tempatan bakal menemui penonton dengan pendekatan yang segar dalam genre seram. Diterbitkan oleh Nanord Studio Production, Paraxnormal menampilkan gabungan menarik antara elemen seram psikologi, komedi gelap dan konflik dalam persahabatan.
Menurut penerbitnya, Nurul Ain Nordin, filem ini bukan sekadar memaparkan kisah tentang entiti ghaib semata-mata, malah menyelami sisi gelap sifat manusia yang melibatkan ketamakan, dendam dan pengkhianatan.
“Ilham untuk naskhah ini muncul secara tidak dijangka sewaktu sesi perbualan santai bersama sahabat saya, pelakon dan penulis skrip Epy Kodiang yang juga membintangi filem ini. Kami pernah bekerjasama dalam sebuah naskhah seram komedi sebelum ini.
“Jadi, kami percaya genre ini masih mempunyai peminat tersendiri dan akhirnya tercetuslah idea untuk menghasilkan Paraxnormal yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi membawa mesej mendalam tentang erti ‘kadang-kadang yang seram bukan hantu, tapi member sendiri,” ujar Ain.
Paraxnormal mengisahkan tentang empat rakan baik yang secara tidak sengaja terjerumus ke dalam kejadian-kejadian menyeramkan apabila mereka cuba merompak sebuah vila lama yang dikatakan berhantu dan menyimpan harta bernilai lebih RM10 juta.
Selain jalan cerita yang unik, barisan pelakon yang diketengahkan turut menjadi daya tarikan utama.
“Menerusi filem ini, barisan pelakon utama terdiri daripada gabungan pelakon berpengalaman dan pelapis baharu.
“Misalnya, dalam filem kami menampilkan Joey Daud sebagai Yasin, Azhan Rani sebagai Asri, Epy Kodiang sebagai Fateh, Amir Nafis sebagai Anas dan turut dibantu oleh Ellie Suriaty Omar dan Kamarool Haji Yusoff,” katanya.
Gabungan pelakon daripada pelbagai latar dan generasi ini, jelasnya, mencipta keserasian yang luar biasa serta memberi nafas segar kepada keseluruhan naskhah.
Filem ini pada asalnya dirancang untuk diterbitkan sebagai sebuah Super Telemovie pada tahun 2023. Namun, setelah meneliti kekuatan jalan ceritanya, pihak produksi membuat keputusan untuk membawanya terus ke layar perak.
Bagaimanapun, proses penggambaran Paraxnormal turut berdepan beberapa cabaran yang tidak dijangka.
“Antara cabaran yang dihadapi termasuklah masalah teknikal seperti monitor dan kabel yang rosak walau selepas diganti serta kejadian aneh yang sukar dijelaskan.
“Selain itu, ada hari waktu pengambaran, kru yang mendakwa terlihat ‘dua Ain’ serentak di lokasi, selain insiden penolong pengarah mengamuk tanpa sebab dan kemudian pengsan secara tiba-tiba, yang mana pada waktu itu pengambaran terpaksa ditangguhkan,” kongsinya.
Sebagai penerbit, Ain menaruh harapan agar Paraxnormal yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 28 Ogos 2025, diterima baik oleh penonton dan menjadi antara filem seram tempatan yang memberi impak dan dikenang ramai.
Paraxnormal mengisahkan tentang empat sahabat karib, Yasin, Asri, Fateh dan Anas yang telah lama terpisah sejak zaman kanak-kanak, kembali bertemu selepas 30 tahun. Dalam pertemuan semula itu, Anas mencadangkan satu rancangan luar jangka iaitu merompak Vila Casablanca, sebuah bangunan terbiar yang dikatakan berhantu. Namun apa yang menanti mereka di sana jauh lebih menakutkan daripada sekadar gangguan makhluk halus.