Paris didakwa berkomplot untuk bunuh teman lelaki

Paris didakwa berkomplot untuk bunuh teman lelaki

London: Bekas pekerja dalam sistem keadilan jenayah yang pernah mengajar banduan membaca di penjara, didakwa berkomplot dengan kumpulan penjenayah untuk menculik dan cuba membunuh bekas teman lelakinya.

Paris Wilson, 34, ibu kepada dua anak didakwa terbabit cubaan pembunuhan itu yang menggunakan asid sulfurik, lapor The Sun.

Danny Cahalane, 38, dilempar asid terbabit pada muka ketika berada di rumah di Plymouth, Devon, England dengan anaknya sedang tidur ketika kejadian yang dilapor 21 Februari lalu.

Polis Cornwall berkata, lelaki itu masih dirawat di hospital namun sudah dipindahkan ke luar bandar demi keselamatan.

Wilson sebelum ini bekerja sebagai pegawai pemulihan di kawasan Barbican yang membantu banduan dibebaskan mendapat pekerjaan dan rumah.

Dia juga pernah menjadi sukarelawan di Penjara Dartmoor, mengajar banduan lelaki menulis dan membaca.

Hadir di mahkamah majistret minggu lalu, Wilson dituduh berkomplot dalam cubaan bunuh, menculik dan terbabit dengan aktiviti jenayah bersama kumpulan penjenayah terancang.

Tujuh individu lain turut didakwa atas kesalahan serangan, manakala sebahagiannya berdepan tuduhan dadah.

Wilson masih dalam tahanan reman sehingga pendengaran kesnya di mahkamah Plymouth pada 12 Mei.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top