am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sindiket penjualan barangan elektrik serta alat perkakasan secara dalam talian dikesan menjadikan tempat parkir pusat beli belah di Klang sebagai stor serta pusat operasi.
Bagaimana kegiatan yang dilakukan di tingkat sembilan itu terbongkar selepas diserbu menerusi operasi bersepadu, semalam.
Dalam operasi yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada jam 12 tengah hari itu, seorang lelaki berusia 40an dipercayai pengurus serta pemilik syarikat tidak berdaftar berkenaan turut ditahan.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata tindakan serbuan di tempat parkir kenderaan itu adalah hasil daripada risikan yang diusahakan oleh pihak IPK Selangor selama tiga bulan sebelum dapatan risikan diperhalusi bersama dengan pihak KPDN Selangor sehingga membawa kepada tindakan serbuan.
“Hasil serbuan mendapati kawasan parkir kenderaan itu dijadikan stor menyimpan, membungkus, serta disyaki terdapat aktiviti menampal jenama (cap dagang) palsu ke atas barangan sebelum diuruskan untuk urus niaga secara dalam talian.
“Jenis barangan yang ditemui semasa serbuan adalah barangan elektrik untuk kegunaan isi rumah, peralatan kerja tukang dan alat peranti komunikasi.
“Rampasan itu kemudian membawa kepada serbuan ke sebuah gudang di Kapar yang turut melakukan kegiatan sama,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDN Selangor di sini, hari ini.
Mohd Zuhairi berkata, kesemua rampasan itu membabitkan pelbagai barangan elektrik dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM26,685.
Katanya, sitaan dilakukan ke atas semua barang rampasan dan akan disimpan di bawah pengurusan ekshibit KPDN Selangor sepanjang proses siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd