Parlimen bersidang selepas darurat tamat – Takiyuddin

Parlimen bersidang selepas darurat tamat – Takiyuddin

Kota Bharu: Kerajaan menegaskan Parlimen hanya akan bersidang selepas tempoh darurat ditamatkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ia terpulang sehingga tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, untuk sepanjang tempoh itu, jemaah menteri akan memberi pandangan berdasarkan fakta dan sains.

“Dalam Parlimen dan Dewan Rakyat, ramai kumpulan yang berisiko dan perkara itu perlu diambil kira.

“Pada Disember lalu ketika pembentangan bajet kita baru bersidang dan sekarang baru bulan Mac. Tidak timbul masalah pun sebab pada tahun 1969, dua tahun kerajaan tidak bersidang.

“Ini baru tiga bulan kita tidak bersidang. Kita faham ramai orang pertikai apabila Parlimen tidak bersidang sedangkan sekolah pun sudah dibuka,” katanya ketika diminta mengulas gesaan pihak pembangkang supaya Parlimen bersidang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin Sesi Bersama Pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di JPM (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi gesaannya supaya Parlimen bersidang semula kerana keadaan sekarang cukup selamat untuk persidangan diadakan.

Katanya, sudah 25 hari berlalu sejak Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh Ordinan Darurat berkuat kuasa.

Bagaimanapun, sehingga hari ini masih tiada tarikh ditetapkan kerajaan untuk wakil rakyat kembali bersidang di Dewan Rakyat.

Scroll to Top