am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang ahli Parlimen blok kerajaan mencadangkan agar kerajaan segera mengambil alih aset perniagaan milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).
Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berkata, keuntungan itu haruslah dipastikan untuk tidak lagi memihak kepada GISBH yang menyakiti kanak-kanak.
“Jika GISBH benar-benar menyesal, jika mereka benar-benar peduli mengenai kebajikan kanak-kanak seperti yang mereka dakwa, mereka akan berundur dan membiarkan kerajaan mentransformasikan perniagaan-perniagaan itu untuk sesuatu yang akhirnya boleh membawa kebaikan.
“Keuntungan daripada perniagaan GISBH boleh disalurkan untuk membiayai perkhidmatan penting bagi kanak-kanak iaitu perkhidmatan yang amat diperlukan untuk mencegah penderaan di masa depan dan juga membantu mereka yang menjadi mangsa.
“Sebagai contoh, keuntungan itu boleh membiayai rumah tempat perlindungan untuk kanak-kanak yang melarikan diri daripada penderaan, atau menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti untuk kanak-kanak kurang bernasib baik ini,” katanya semasa membahaskan berkaitan GISBH di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut katanya, keuntungan yang diperoleh itu juga boleh menyokong perkhidmatan kaunseling psikologi dan program pemulihan trauma bagi mangsa yang teraniaya di bawah GISBH.
“Kita boleh menggunakan sumber ini mewujudkan pusat perlindungan kanak-kanak, tempat di mana kanak-kanak dan keluarga mereka boleh mendapatkan sokongan untuk mereka membina semula kehidupan,” katanya.
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) ketika perbahasannya pula menggesa supaya gelaran ‘Datuk’ milik Pengerusi Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali ditarik balik.
“Ini demi untuk menjaga imej negara, imej negeri dan menjaga imej institusi raja-raja kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




