Parlimen: Kerjasama Lynas-AS bagi mudahkan perjanjian bekalan nadir bumi – Johari

Parlimen: Kerjasama Lynas-AS bagi mudahkan perjanjian bekalan nadir bumi – Johari

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerjasama antara Lynas Rare Earths Ltd (Australia) dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) bertujuan memudah cara pemuktamadan perjanjian bekalan bahan bagi industri pembuatan moden yang menyokong usaha AS dalam mencapai objektif daya tahan bekalan nasionalnya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Lynas Malaysia memaklumkan bahawa perjanjian berkenaan adalah urusan komersial yang diuruskan secara langsung oleh subsidiarinya, Lynas LLC USA dengan pihak AS.

Katanya, bekalan oksida nadir bumi berkenaan adalah untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pembuatan magnet kekal yang sedang diterokai AS.

“Syarikat itu juga memaklumkan bahawa bekalan oksida nadir bumi dibekalkan itu adalah untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor perindustrian pembuatan magnet kekal yang sedang diterokai oleh AS.

“Dalam rantaian nilai industri unsur nadir bumi (Rare Earth Elements – REE) yang kompleks, operasi Lynas Malaysia terletak pada peringkat awal pemprosesan iaitu mengasingkan REE mentah yang dilombong di Australia untuk menjadi bekalan oksida nadir bumi (Rare Earth Oxide – REO).

“Selepas diproses, REO itu dibekalkan kepada pembuat logam di luar negara untuk disalurkan kepada pengeluar magnet. Magnet yang dihasilkan pula kemudian menjadi input kepada pembuat motor elektrik dan pengeluar peralatan asal (Original Equipment Manufacturer – OEM),” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai pendirian tegas kerajaan berhubung perjanjian pembekalan oksida nadir bumi bernilai AS$96 juta (RM388 juta) antara Lynas dengan Pentagon, agensi Jabatan Pertahanan AS.

Johari berkata, operasi pemprosesan oleh Lynas Malaysia mematuhi dasar semasa yang ditetapkan kerajaan, termasuk keperluan lesen operasi dan lesen pengilang serta kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Ia juga merangkumi komitmen kepada pembangunan ekosistem segmen pertengahan dan hiliran yang mengutamakan pembangunan syarikat tempatan,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited membangunkan segmen pertengahan dan hiliran industri REE bagi mewujudkan ekosistem yang holistik serta bersepadu, selain memaksimumkan nilai ekonomi sumber mineral tempatan.

“Strategi MITI tertumpu kepada usaha menarik pelaburan domestik dan antarabangsa untuk membangun dan seterusnya memperkasakan segmen industri REE pertengahan dan hiliran.

“Ini terutamanya dalam pembuatan berteknologi tinggi seperti magnet kekal, bahan termaju, komponen elektronik dan bateri,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini pelabur REE berpotensi keberatan untuk melabur berikutan ketiadaan jaminan bekalan bahan mentah REE yang stabil dalam negara.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan bersetuju memberikan fleksibiliti terhadap dasar moratorium eksport bahan mentah REE sedia ada menerusi Garis Panduan Pertimbangan Permohonan Pengeksportan Unsur Nadir Bumi Mentah.

“Bagi ‘memancing’ pelabur REE berpotensi itu, kerajaan bersetuju untuk memberikan fleksibiliti kepada dasar moratorium ke atas eksport bahan mentah REE sedia ada melalui Garis Panduan Pertimbangan Permohonan Pengeksportan Unsur Nadir Bumi Mentah.

“Fleksibiliti pengeksportan ini adalah terhad untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sahaja.

“Syarikat berkaitan perlu menunjukkan komitmen jelas mengenai kerjasama pembangunan fasiliti pemprosesan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kelulusan eksport bahan mentah REE,” katanya.

Johari berkata, Malaysia perlu memanfaatkan kerjasama strategik serta pemindahan teknologi dari dalam dan luar negara, termasuk negara rakan yang berpengalaman dalam pemprosesan REE, bagi merealisasikan aspirasi membangunkan industri berkenaan.

“Langkah ini akan dapat mengukuhkan keupayaan tempatan merentasi seluruh rantaian nilai iaitu daripada aktiviti perlombongan hingga pembuatan produk akhir.

“Malah, ia akan menempatkan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global mineral kritikal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top