mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia mengkaji keperluan menyediakan khidmat bantuan guaman melalui dana kerajaan untuk kes pendakwaan terutama mandatori mati membabitkan rakyat tempatan di luar negara.
Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata, perkara itu masih dalam penelitian dan kajian lanjut.
“Kalau amalan mana-mana negara dalam kes membabitkan hukuman mandatori mati, saya setuju mereka ada menyediakan peguam yang dibiayai kerajaan mereka tetapi ini masih dalam peringkat untuk kita kaji.
“Kita akan minta kementerian bahkan Ketua Setiausaha (KSU) pun sudah ambil tindakan bincang dengan pihak agensi berkenaan tentang cadangan kita untuk menyediakan khidmat guaman atas biaya kerajaan kita untuk kes terpilih.
“Saya setuju kalau kes mandatori mati ini dan latar belakang keluarga kita harus check (periksa) juga, mungkin miskin dan tiada keupayaan mungkin kita boleh bantu tetapi kalau orang kaya dan memang banyak duit, saya fikir dia tak layak untuk dapatkan khidmat seumpama ini,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wong Chen (PH-Subang) sama ada kementerian boleh meminta dana lebih supaya Malaysia berupaya menyediakan khidmat peguam untuk kes pendakwaan rakyat Malaysia di luar negara.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, buat masa ini kerajaan menawarkan bantuan konsular kepada mereka terbabit.
“Kita bantu mereka untuk mencari peguam terbaik dengan memperkenalkan mereka kepada peguam untuk dilantik mewakili mereka.
“Sampai satu tahap kita nasihatkan juga beberapa peguam untuk mereka lantik sebagai watching brief sekalipun kita boleh beri pandangan kepada mereka,” katanya.
Terdahulu beliau turut menjawab soalan asal Wong mengenai langkah diambil untuk mengenal pasti rakyat Malaysia terutama yang dieksploitasi dalam pemerdagangan orang, proses membawa pulang serta sama ada mengkaji semula dasar hubungan sokongan dan perlindungan pekerja Malaysia di luar negara.
Menurut Mohamad, perlindungan terhadap rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara tertakluk di bawah undang-undang buruh dan hak asasi manusia termasuk pemerdagangan orang di negara berkenaan.
“Malaysia bukanlah negara sumber tenaga buruh. Pemakaian undang-undang buruh Malaysia mahupun mana-mana undang-undang Malaysia tidak terpakai di negara asing.
“Sungguhpun begitu, kerajaan Madani melalui Kementerian Luar dan Perwakilan Diplomatik Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular yang bersesuaian kepada rakyat Malaysia yang ditimpa masalah atau kesulitan ketika berada di luar negara selaras dengan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963.
“Dalam kes Puan Mala khususnya, pegawai Kedutaan Malaysia di Kathmandu telah berjumpa dengan pemimpin tertinggi Nepal sehingga ke peringkat Timbalan Perdana Menteri Nepal bagi memohon bantuan dan pertimbangan pemansuhan denda,” katanya.
Katanya, tanggungjawab bagi mengenal pasti sama ada seseorang itu adalah mangsa pemerdagangan orang atau tidak tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan dan tafsiran yang diperuntukkan dalam undang-undang di negara terbabit.
“Dalam erti kata lain, (dalam kes Mala) pihak berkuasa di Nepal yang akan menentukan sama ada sesuatu kes itu adalah jenayah pemerdagangan manusia ataupun tidak, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada yang berkenaan di Nepal, dan bukannya berdasarkan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Malaysia.
“Tambahan pula, pendakwaan ke atas Puan Mala Vello ini adalah dibuat di bawah undang-undang imigresen Nepal.
“Dalam hal ini, Perwakilan Diplomatik Malaysia tidak boleh terbabit dalam proses siasatan itu kerana terdapat keperluan bagi Perwakilan Diplomatik Asing untuk menghormati undang-undang tempatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




