Parlimen Myanmar kembali bersidang sejak rampasan kuasa

Parlimen Myanmar kembali bersidang sejak rampasan kuasa

NAYPYIDAW: Parlimen Myanmar bersidang pada Isnin buat kali pertama sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 dengan dewan dipenuhi wakil rakyat projunta yang dipilih melalui pilihan raya dikawal tentera.

Majoriti ahli Parlimen berasal dari Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan (USDP) yang protenteraa. Sebahagian besar baki kerusi dimiliki oleh tentera yang berhak mendapat satu perempat kerusi yang tidak dipilih di bawah Perlembagaan.

Wartawan AFP di ibu negara Naypyidaw menyaksikan ahli-ahli parlimen Dewan Rakyat memulakan prosiding untuk memilih pengerusi dewan sekitar pukul 10 pagi waktu tempatan.

Pilihan raya terakhir pada 2020 menyaksikan kemenangan besar untuk bekas pemimpin de facto, Aung San Suu Kyi. Namun. junta mengetepikan keputusan tersebut dan menahan pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu dan membubarkan partinya. Ia mencetuskan perang saudara di negara berkenaan.

Selepas lima tahun pemerintahan tentera, junta Myanmar mengadakan semula pilihan raya secara berperingkat pada Disember tahun lalu dan Januari lepas dengan mengharamkan sebarang kritikan terhadap undian serta menggabungkan undi dengan sekutu awamnya, menurut badan pemerhati demokrasi.

Undian itu tidak diadakan di kawasan besar negara yang dikawal pemberontak dan penganalisis menggambarkan barisan baharu ahli parlimen sebagai proksi tentera, bertujuan memberikan gambaran pemerintahan tersebut adalah sah.

Ketua junta, Min Aung Hlaing didakwa sedang merancang untuk mengetuai kerajaan baharu apabila mengambil alih kuasa bulan depan.

Presiden akan dipilih melalui undian di kedua-dua dewan parlimen, yang didominasi oleh wakil rakyat protentera atau masih berkhidmat dalam angkatan bersenjata itu.

Beberapa pakar Myanmar percaya Aung Hlaing mungkin kekal sebagai ketua tentera untuk mengawal kerajaan di sebalik tabir.

“Siapa tahu peranan sebenar yang akan dimainkan, tetapi jelas beliau akan memimpin dan tentera akan kekal berkuasa,” kata pakar hak asasi manusia Myanmar, Tom Andrews.

Tentera memerintah Myanmar untuk sebahagian besar sejarah pasca kemerdekaannya, sebelum tempoh demokrasi selama sedekad menyaksikan Suu Kyi mengambil alih tampuk pemerintahan.

Sebelum ini, USDP  memenangi lebih 80 peratus kerusi, diasaskan oleh bekas jeneral dan disertai ramai pegawai kanan tentera yang bersara.- AFP

 

Scroll to Top