PARLIMEN: Rakyat tak yakin kemampuan Anwar, kerajaan – Muhyiddin

PARLIMEN: Rakyat tak yakin kemampuan Anwar, kerajaan – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Rakyat dilihat tidak yakin dengan kemampuan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan mengurus ekonomi negara ini dengan baik.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia susulan data menunjukkan jumlah deposit mata wang asing di negara ini yang semakin meningkat.

Menurutnya, sehingga Julai 2023, deposit mata wang asing dalam sistem perbankan di negara ini berjumlah RM250 bilion, iaitu tertinggi dalam sejarah.

“Apa maknanya ini? Maknanya, rakyat Malaysia sendiri pun tidak yakin kepada ringgit. Mereka tidak mahu simpan ringgit kerana bimbang nilainya akan terus menurun. Jadi mereka memilih untuk menyimpan dalam mata wang asing.

“Saya tengok dalam media sosial ramai netizen yang ulang tayang video Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika dia jadi pembangkang. Dia kata ‘Hang tak reti jaga negeri’. Sekarang rakyat cakap balik kepada Tambun, ‘Hang yang tak reti jaga negeri’,” katanya semasa sesi perbahasan titah diraja di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menyarankan kerajaan menangguhkan buat sementara waktu cadangan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel yang dilapor dilaksanakan tahun ini.

Beliau yakin semua barang dan perkhidmatan berpotensi naik harga sekali gus dikhuatiri lihat lebih ramai lagi rakyat sengsara.

“Oleh sebab itu, saya minta kerajaan supaya kaji dengan lebih teliti rancangan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel ini. Adakah ia sesuai dilaksanakan pada masa ini ketika rakyat sedang berdepan dengan kenaikan harga barang dan kenaikan berbagai jenis cukai yang amat membebankan mereka.

“Saya faham beban fiskal yang ditanggung oleh negara kita akibat jumlah subsidi yang besar. Tetapi pada masa sama adakah kita rela melihat rakyat menanggung sengsara dalam keadaan mereka sudah pun terbeban dengan pelbagai masalah yang berkaitan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan cukai,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin mengharapkan kerajaan serta kementerian berkaitan pengurusan kos sara hidup supaya serius memainkan peranan masing-masing.

“Sewaktu mengurus covid, kita bersidang setiap hari siang malam…tak boleh secara fizikal, buat secara video, tetapi kenapa soal seperti ini tidak boleh diselesaikan dalam keadaan tiada krisis.

“Saya pernah urus soal beras, dalam kementerian pertanian, kementerian perdagangan dalam negeri dan sebagainya, tidak pernah berlaku soal tak ada beras dalam pasaran…tak pernah berlaku soal kenaikan beras.

“Waktu itu diuruskan oleh pihak Bernas (Padiberas Nasional Berhad). Saya tak kata setuju monopoli 100 peratus, tetapi tidak berbangkit soal beras tak ada. Beras tempatan patut lebih banyak dari beras import, tetapi sekarang beras import lebih banyak dari beras tempatan, sampai hari ini tak terjawab oleh pihak kerajaan,” katanya.  – UTUSAN