Partey terus diburu kontroversi mahkamah

Partey terus diburu kontroversi mahkamah

London: Bekas pemain Arsenal, Thomas Partey didakwa dengan dua lagi pertuduhan rogol.

Pemain berusia 32 tahun yang kini beraksi bersama kelab Sepanyol, Villarreal dijadual hadir ke Mahkamah Majistret Westminster pada 13 Mac bagi menghadapi pertuduhan berkenaan yang membabitkan seorang mangsa didakwa berlaku pada 2020.

Kes itu dilaporkan kepada polis pada Ogos 2025.

Pada September lalu, Partey mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan rogol terhadap dua wanita lain serta satu pertuduhan serangan seksual terhadap seorang wanita ketiga di Mahkamah Mahkota Southwark.

Kesalahan didakwa berlaku antara 2021 hingga 2022 ketika beliau masih beraksi bersama Arsenal.

Pemain antarabangsa Ghana itu dijadual berdepan perbicaraan pada 2 November.

Partey menyertai Arsenal dari Atletico Madrid pada 2020 dengan nilai perpindahan dilaporkan sebanyak £45 juta (RM270 juta).

Beliau meninggalkan kelab London itu pada Jun tahun lalu selepas membuat 167 penampilan.

Partey mengumpul lebih 50 kaps bersama Ghana dan berpotensi beraksi di Piala Dunia hujung tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top