SHAH ALAM – Parti baharu Datuk Seri Rafizi Ramli dijangka memberi lebih saingan kepada Pakatan Harapan (PH) berbanding Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, keadaan itu kerana parti tersebut menyasarkan segmen pengundi yang sama seperti PH iaitu kerusi campuran, kawasan bandar dan pantai barat.
Menurutnya, bagi PN pula, cabarannya terletak pada pertembungan idea dan polisi untuk menarik sokongan anak muda serta pengundi atas pagar.
“Namun, kredibiliti ‘raja formula’ sedikit menjejaskan reputasi Rafizi.
“Kemunculan parti baharu ini berpotensi memeriahkan ruang demokrasi, khususnya melalui kritikan dasar serta pembongkaran isu dan kelemahan kerajaan, termasuk serangan politik terhadap elit penguasa.
“Namun, persoalan lebih besar ialah kedudukan parti ini selepas pilihan raya, dengan siapa Parti Bersama Malaysia (Bersama) akan bergabung?” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar daripada PKR, seterusnya akan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan serta Setiawangsa, masing-masing berkuat kuasa pada Isnin.
Pengumuman itu dibuat oleh kedua-dua bekas menteri berkenaan ketika majlis pengumuman hala tuju politik yang berlangsung di Petaling Jaya pada Ahad.
Rafizi berkata, surat pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin, diikuti pemakluman rasmi keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh pada Selasa.
Rafizi dan Nik Nazmi dalam program sama mengesahkan mengambil alih Bersama, iaitu parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di George Town, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.
Tambah Mohd Syahir, realiti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan bahawa hampir mustahil bagi sesebuah parti membentuk kerajaan secara bersendirian sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.
“Walaupun masih terlalu awal, tetapi inilah antara pertimbangan utama pengundi menjelang PRU16 nanti.
“Adakah berbaloi untuk memberi satu undi kepada parti baharu ini?” ulasnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pemimpin itu atas keberanian mengorak langkah baharu dalam pentas politik tanah air.
“Langkah ‘kamikaze’ ini pastinya didorong pertimbangan jangka pendek dan jangka panjang dengan mengambil kira realiti serta sentimen politik semasa,” jelasnya.



