KUALA TERENGGANU: Pas bukan sekadar penumpang dalam politik negara, sebaliknya mahu menjadi penentu atau kingmaker dalam sebarang permuafakatan yang dibentuk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tidak seharusnya parti itu dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup sebagai penumpang.
Tegasnya, Pas perlu menjadi pemimpin bersama rakan-rakan sekutunya hingga berjaya menarik sokongan rakyat bagi menyelamatkan negara.
“Untuk mendapat jaminan paling kuat bagi menegakkan konsep kepemimpinan Islam yang berprinsip, maka Pas wajib berusaha sekurang-kurangnya menjadi penentu dalam keputusan PRU-15 berasaskan jumlah kerusi dimenangi, bukan jumlah kerusi yang bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar bertemakan ‘Islam Menyatukan Ummah’ sempena Muktamar Pas Ke-67 di Duyung Marina & Resort, di sini hari ini.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, mandat kini diserahkan kepada Majlis Syura Ulama dan kepemimpinan Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi PRU-15 di samping segala kemungkinan selepas pilihan raya.
Beliau turut mengulangi pendirian menolak sebarang usaha membentuk penjajaran baharu dengan pelbagai jenama atau perubahan yang dicadangkan.
“Kita menubuhkan Muafakat Nasional (MN) mengikut acuan asal yang lengkap mengikut piagam, malah, kita berjaya menubuhkan Perikatan Nasional (PN) yang lebih terbuka dan kuat, sehingga berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan.
“Maka, sebarang cadangan lain laksana tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan,” katanya.
Beliau menyeru agar Pas konsisten dengan pendekatan politik yang jujur dan bersih untuk memulihkan negara. – UTUSAN ONLINE




