am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: BERSATU menafikan bahawa rakan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu PAS tidak dijemput dalam pertemuan pemimpin daripada parti blok bukan kerajaan bagi membincangkan cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, katanya jemputan dihantar kepada kepimpinan tinggi PAS namun tiada wakilnya yang hadir.
Tun Faisal turut menjelaskan ia bagaimanapun bukan membabitkan pertemuan rasmi, sebaliknya hanya bersifat santai.
“PAS dijemput dengan jemputan dihantar kepada ketua parti sahaja.
“Tetapi ingin dijelaskan ia bukan sesuatu yang ‘formal’, hanya minum-minum sambil berbincang mendapatkan pandangan ketua parti bukan blok kerajaan yang lain,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan ketua parti blok bukan kerajaan bagi membincangkan cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti dalam kalangan parti pembangkang.
Selain wakil pemimpin BERSATU, parti lain yang hadir antaranya GERAKAN, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), PEJUANG, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan MUDA.
Namun, wakil daripada PAS tidak disenaraikan sebagai antara yang menyertai perjumpaan berkenaan walaupun parti itu antara komponen utama dalam PN.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, turut mengesahkan mereka tidak dijemput atau mengetahui mengenai pertemuan rentas parti terbabit.
Pada masa sama, Tun Faisal berkata, melalui hasil pertemuan itu, tiada keputusan yang mengikat diputuskan.
Sebaliknya, katanya, ia hanyalah pengumpulan pandangan bernas mengenai bagaimana parti bukan blok kerajaan boleh memainkan peranan dan berjuang terhadap isu rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd