PAS gagal beri kerjasama, tolak gagasan Rumah Bangsa untuk perpaduan Melayu – Khalid Samad

PAS gagal beri kerjasama, tolak gagasan Rumah Bangsa untuk perpaduan Melayu – Khalid Samad

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Penolakan PAS terhadap gagasan Rumah Bangsa menunjukkan kegagalan parti berkenaan dalam memberi kerjasama untuk mewujudkan platform perpaduan Melayu walaupun berbeza parti politik.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad berkata, keputusan untuk memboikot Rumah Bangsa adalah suatu pengaruh negatif kerana tujuannya untuk menyatu padukan bangsa kita selain dilihat sebagai langkah yang positif.

Katanya, penubuhan Rumah Bangsa adalah satu platform parti-parti Melayu untuk bertemu serta berbincang, justeru pandangan peribadinya tidak memperlihatkan sebarang keburukan sebagai mana ditakuti oleh parti PAS.

“Bagi saya, PAS gagal dalam usaha ini kerana PAS mahu supaya partinya yang buat baru orang datang tetapi tidak boleh menerima jika orang buat, dia datang, itulah masalahnya.

“Malah, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sendiri menghadiri mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa pada awal Mac lalu dan agak mengecewakan apabila ia mendapat respon negatif daripada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas itu.

“Bagi saya, kenyataan yang dikeluarkan Presiden PAS tidak bijak serta merugikan kerana usaha melakukan kebaikan seharusnya disambut oleh semua pihak,” katanya dalam sidang media selepas Program Makan Colek Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Bersama Pengamal Media Kelantan, di sini, malam tadi.

Katanya, proses menggembleng usaha ke arah kebaikan, semua pihak pasti akan diduga atau mendengar ‘bisikan syaitan’ tetapi pihak berkenaan sepatunya melawan dan mengelakkan diri daripada terpengaruh.

Media sebelum ini melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan tidak bersedia menyertai gagasan Rumah Bangsa yang ditawarkan oleh UMNO kerana disifatkannya sebagai struktur politik yang tidak selamat.

Abdul Hadi berkata, gagasan yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu diibaratkan seperti perlindungan yang rosak dan tidak mampu melindungi pihak yang berada di bawahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top