SHAH ALAM – Kerajaan perlu memastikan aplikasi navigasi TuJu benar-benar bersedia, stabil dan berkesan sebelum menggalakkan rakyat menggunakannya sebagai alternatif kepada Waze.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, aspek ketepatan navigasi, maklumat trafik masa nyata, keselamatan data dan kemudahan pengguna perlu diuji secara menyeluruh.
Menurutnya, kerajaan tidak sepatutnya membuat pengumuman secara besar-besaran sebelum memastikan aplikasi berkenaan berfungsi dengan baik.
ARTIKEL BERKAITAN: Larangan Waze: Tiada kompromi terhadap sebarang risiko keselamatan melibatkan Israel – MKN
Penjawat awam dilarang guna Waze, bimbang ancaman Israel – PM
Kerajaan galak rakyat guna navigasi TuJu, ganti Waze
Larangan Waze hanya untuk penjawat awam, tidak terpakai kepada orang ramai – Gobind
Gangguan TuJu: LLM, PCSB giat pulih, tambah baik sistem
“Janganlah pengumuman dibuat dengan begitu gah, tetapi akhirnya rakyat berdepan pelbagai kelemahan teknikal seperti kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Avatar AI,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau turut merujuk laporan ujian aplikasi TuJu oleh sebuah portal berita teknologi pada 22 Oktober 2026 yang membangkitkan beberapa kelemahan fungsi navigasi berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan perlu memastikan aplikasi berkenaan benar-benar berfungsi dengan baik sebelum mempromosikannya secara besar-besaran.
Ahmad Fadhli turut mencadangkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membantu menyampaikan pandangan secara tidak rasmi kepada pihak berkaitan supaya aspek kesiapsiagaan aplikasi TuJu diberikan perhatian sewajarnya.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Madani mempunyai pengalaman dan hubungan profesional yang relevan dengan pembangunan aplikasi berkenaan.
“Abdul Rashid pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika memorandum persefahaman dengan Prosignal Consortium dimeterai pada 26 Mei 2022,” katanya.
Beliau berkata, nama Abdul Rashid turut disenaraikan sebagai Pengarah Eksekutif Prosignal Consortium Sdn Bhd di laman korporat syarikat itu.
“Pengalaman Abdul Rashid mungkin dapat membantu pihak berkaitan memahami keperluan penambahbaikan aplikasi berkenaan demi manfaat pengguna,” tambahnya.
Prosignal Consortium Sdn Bhd, syarikat yang terlibat dalam pembangunan aplikasi navigasi TuJu bersama LLM, menandatangani Perjanjian Kerjasama dengan MIMOS Holdings Sdn Bhd pada 4 Ogos 2026.
MIMOS Holdings ialah anak syarikat milik penuh MIMOS Berhad, manakala kerjasama itu bertujuan membangunkan penyelesaian teknologi mampan untuk pasaran lebih luas.
Ahmad Fadhli turut membangkitkan hubungan kerjasama korporat antara MIMOS Holdings dengan Zetrix AI Berhad yang dahulunya dikenali sebagai MYEG.
Kerjasama itu melibatkan Perjanjian Langganan Saham dan Perjanjian Pemegang Saham bertarikh 27 November 2025 berkaitan My Blockchain Infrastructure Sdn Bhd (MBISB).
Struktur pegangan ekuiti MBISB membabitkan 51 peratus oleh MIMOS Holdings dan 49 peratus oleh PayMe Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung Zetrix AI.
Kenyataan itu turut menyenaraikan beberapa dokumen rasmi berkaitan kerjasama berkenaan, termasuk pengumuman LLM, profil ADUN Selat Klang, maklumat korporat Prosignal Consortium, kenyataan MIMOS serta pengumuman Bursa Malaysia berkaitan pegangan ekuiti MBISB.



