Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan agar menyemak semula Akta Perhimpunan Aman 2012 secaras sistematik supaya dapat mencerminkan semangat perlembagaan dan prinsip hak asasi manusia sejagat di Malaysia.
PAS desak kerajaan semak semula akta

Foto: Sinar Harian
Takiyuddin menuntut agar kerajaan memansuhkan peruntukan akta yang boleh disalah guna bagi menyekat hak rakyat untuk bersuara termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Beliau berpendapat tindakan itu selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 pada Selasa.
“Kerajaan perlu dengan serius menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta zalim yang boleh disalahguna untuk menyekat kebebasan bersuara antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan seumpamanya.
“Perkara ini juga selaras dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan sebagaimana yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 mereka,” kata Takiyuddin di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang secara langsung menjenayahkan kegagalan untuk memberi notis untuk suatu perhimpunan aman.

Foto: Harian Metro
Keputusan tersebut dibuat oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Beliau berkata, keputusan itu bukan sahaja suatu penegasan terhadap supremasi Perlembagaan, tetapi juga satu mesej jelas bahawa hak asasi rakyat tidak boleh digugat oleh peruntukan undang-undang yang menindas atau berlebihan.
Takiyuddin percaya bahawa keputusan tersebut dapat memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun sebagai sebahagian daripada ciri-ciri penting dalam sistem demokrasi tanpa ancaman pendakwaan yang tidak berasas.
Artikel lain: PM Anwar pesan jangan buang mahasiswa UMS, masa depan mereka lebih utama -Zambry
Untuk rekod, Seksyen 9(5), memperuntukkan penalti jenayah terhadap penganjur perhimpunan yang gagal memberikan notis kepada pihak polis dalam tempoh 5 hari sebelum tarikh perhimpunan, dianggap sebagai satu bentuk sekatan tidak munasabah terhadap hak dan kebebasan berhimpun.
Sumber: Facebook (Takiyuddin Haji Hassan)