PAS Kelantan hormat keputusan Umno negeri, tapi tak terikat ikut langkah sama

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Che Abdullah Mat Nawi berkata, PAS Kelantan menyokong keputusan PAS Pusat, iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional dan mempertahankan Perikatan Nasional.

PETALING: Walaupun menghormati keputusan Umno Kelantan memutuskan hubungan dan kerjasama dengan PPBM, tetapi PAS Kelantan berkata, ia tidak terikat untuk mengikut langkah sama.

Ini kerana, kata Setiausaha PAS Kelantan, Che Abdullah Mat Nawi, setiap parti berhak membuat keputusan dan pendirian sendiri.

“Keputusan yang dibuat satu-satu parti itu tentunya tidak mengikat parti lain atau ahli parti lain,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Umno Kelantan mengumumkan ia memutuskan hubungan dan kerjasama dengan PPBM, dan mahu PAS membuat keputusan “jelas dan segera” sama ada bersama Umno atau PPBM menghadapi PRU15.

Setiausaha Umno Kelantan, Akbar Salim dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat mesyuarat Umno Kelantan semalam, sebagaimana usul yang diluluskan 12 daripada 13 mesyuarat bahagian sebelum ini.

Che Abdullah berkata, PAS Kelantan menyokong keputusan PAS Pusat, iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Beliau juga yakin pemimpin Umno Kelantan memiliki jiwa besar untuk mengambil tindakan terbaik demi kepentingan orang Melayu, terutamanya yang berada di luar Kelantan.

“Menginsafi nasib orang Melayu, Islam bahkan negara, PAS mengambil tanggungjawab sangat besar untuk menyatukan seluruh umat Islam, Bumiputera dan juga orang-orang bukan Islam yang tidak ekstremis demi menghalang Pakatan Harapan kembali berkuasa.

“Sejarah 22 bulan pentadbiran PH sepatutnya memberi pengajaran sangat pahit kepada Bumiputera dan orang Melayu Islam. Tapi betullah kata Dr Mahathir Mohamad, Melayu mudah lupa.”

Beliau yakin orang Melayu sangat mengharapkan perpaduan pimpinan Melayu untuk mempertahankan hak mereka di negara ini.

“PAS akan terus memainkan peranan itu.”