nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: PAS mendedahkan parti itu menjadi penyumbang dana terbesar kepada Perikatan Nasional (PN) iaitu sebanyak RM43,000 setiap bulan yang diberikan Ahli Parlimen parti itu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu mempunyai 43 Ahli Parlimen dan mereka menyumbang RM1,000 seorang sebulan.
“Saya nak mengaku malam ini kita (PAS) banyak menyumbang kepada PN, parti lain kadang-kadang bagi, kadang-kadang tak bagi.
“Walaupun Pengerusi PN sebelum ini dari BERSATU, namun kita tetap menyumbang sehingga kita merasakan Tan Sri Muhyiddin gagal mengemudi PN.
“Saya tegaskan juga di sini, PAS adalah parti yang mempunyai paling banyak kerusi bukan hanya dalam PN sebaliknya dalam Parlimen,” katanya dalam Ceramah Jelajah Himpunan & Munajat Panyatuan Ummah Parlimen Kubang Kerian, di sini, malam ini.
Terdahulu, media melaporkan, RoS mengesahkan membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




