Pas perlu perbetulkan pandangan tentang ahli UMNO kafir

Pas perlu perbetulkan pandangan tentang ahli UMNO kafir

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas digesa memperbetulkan tangapan akar umbinya yang mendakwa ahli UMNO adalah kafir

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, adalah penting tanggapan itu  diperbetulkan supaya tidak berlaku pertelingkahan antara umat Islam di negara ini.

Gesaan itu dibuat susulan tular satu klip video seorang ahli Pas mendakwa mana-mana orang Islam mengundi UMNO terkeluar daripada Islam dan menjadi kafir.

“Saya menyeru dan mengharapkan agar kepimpinan Pas dapat mengeluarkan kenyataan bagi menjernihkan ahli-ahli di bawah bahawa tidak jatuh kafir atau rosak aqidah seseorang apabila mengundi mana-mana parti dalam pilihan raya kali ini.

“Ini penting bagi mengelakkan pertelingkahan dan perbalahan yang membawa kepada kafir-mengkafir sehingga meleraikan ikatan ukhuwah Islamiah.

“Sesungguhnya berbeza parti hanyalah dari segi ijtihad dan pendekatan politik bukannya perbezaan akidah dan pegangan agama seseorang,” katanya dalam kenyataan.

Asyraf Wajdi berkata, kejadian yang dipaparkan dalam video tersebut memberikan rasa sedih yang mendalam.

Ini kerana masih ada ahli akar umbi Pas yang begitu fanatik dengan kepimpinan yang didahulunya menanam ideologi bahawa mengundi UMNO menjadi kafir dan masuk neraka.

Menurut beliau, setiap umat Islam perlu membezakan antara agama dan parti.

“Islam adalah agama, Pas adalah parti politik. Ia perkara yang berbeza. Tidak menyertai Pas, tidak mengundi Pas tidak sesekali menjatuhkan kekufuran kepada kita.

“Tidak mengundi UMNO pun tidak menjatuhkan kekufuran kita. Kerana Islam adalah lebih tinggi daripada parti politik. Walaupun politik adalah sebahagian daripada agama,” kata Asyraf Wajdi.

Dalam klip video yang tular, seorang wanita warga emas dipercayai ahli Pas mendakwa mereka yang menjadi ahli UMNO menjadi kafir sehingga kiamat.

Wanita yang dipercayai rakyat Kelantan berdasarkan dialog pertuturan berkata demikian selepas didekati seorang ahli UMNO yang berkempen dan meminta mak cik tersebut mengundi UMNO.

“Tak nak. Kalau kamu dalam UMNO kamu kafir sampai kiamat. Dalam kitab dah berkata begitu. (Kita apa?) Kitab besar ada, kitab panjang ada.

“Kalau sokong orang UMNO dalam dasar sekular, assabiah kafir sampai kiamat,” kata wanita itu.- MalaysiaGazette