razis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: PAS mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat ‘melatah’ berhubung dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini bahawa terdapat usaha Amerika Syarikat (AS) untuk campur tangan menjatuhkan kerajaan Malaysia sebelum 2018.
Ketua Penerangan PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya hairan dengan reaksi itu kerana PAS tidak pernah mengaitkan PH dalam isu terbabit.
Katanya, perkara itu tidak seharusnya dilakukan kerana pertikaian kedua-dua pihak boleh diselesaikan melalui kaedah undang-undang.
“Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia menafikan perkara ini. Ada kaedah undang-undang untuk selesaikan pertikaian antara dua pihak terbabit iaitu saman sivil.
“Apa yang menghairankan kenapa tiba-tiba PH melatah? Apa kepentingan mereka dalam isu ini? Kenapa tiba-tiba melatah dan buat laporan polis? Adakah Presiden PAS mengaitkan mana-mana pihak dari PH dalam isu ini? Tidak sekali-kali.
“Jadi, kenapa mereka melatah? Atau mereka sebenarnya yang ada kaitan?” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Media semalam melaporkan, Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng, menggesa Abdul Hadi mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan AS pernah menawarkan bantuan kepada parti Islam itu untuk menjatuhkan kerajaan, pada 2014.
Beliau dilaporkan berkata, tuduhan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu disifatkan berat, selain tidak dapat dibuktikan hanya dengan tepukan di Muktamar PAS, selain mempersoalkan sama ada Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ada memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa di negara ini.
Lip Eng turut menggesa polis mendapatkan keterangan ketiga-tiga pemimpin PAS itu dan mengenal pasti wakil AS yang didakwa menawarkan bantuan terbabit.
Terdahulu, Kedutaan AS di Kuala Lumpur dilapor menafikan dakwaan campur tangan bagi menentukan kepemimpinan politik Malaysia, sambil menyifatkan sebarang tuduhan sebaliknya sebagai palsu.
Ia selepas Abdul Hadi dilapor mendedahkan wakil Kedutaan AS pernah bertanya kepadanya mengenai calon Perdana Menteri dicadangkan PAS ketika pertemuan di Kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Pertemuan itu dikatakan berlaku ketika PAS masih dalam gabungan Pakatan Rakyat, ketika lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama ke Malaysia.
Pertanyaan itu didakwa dikemukakan kepada Abdul Hadi selepas Ahmad Samsuri dan Takiyuddin terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan duta AS.
Dalam pertemuan itu, Ahmad Samsuri dan Takiyuddin dikatakan tidak terpengaruh biarpun dimaklumkan mengenai kemungkinan menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pentadbiran, selain AS dikatakan bersedia membantu usaha berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

