Pas putus kerjasama kerana cemburu dengan Bersatu – Ramasamy

Pas putus kerjasama kerana cemburu dengan Bersatu – Ramasamy

SHAH ALAM – Tindakan Pas memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa bukan berpunca daripada soal prinsip.

Sebaliknya, Pengasas Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr P Ramasamy mendakwa, keputusan tersebut dibuat kerana cemburu terhadap pengaruh parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang semakin berkembang.

“Saya berpendapat bahawa sebab sebenar Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu bukanlah kerana alasan-alasan yang disebutkan di atas, tetapi lebih kerana rasa cemburu.

“Pada asasnya, Pas mahu memastikan bahawa peningkatan populariti Bersatu dapat disekat sebelum ia berkembang lebih jauh,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Pada 8 Jun lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, ketetapan tersebut dibuat selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua pihak.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, alasan yang diberikan kepimpinan Pas berhubung krisis politik di Perlis dan Negeri Sembilan serta pemecatan beberapa pemimpin Bersatu hanyalah justifikasi bagi menamatkan hubungan dengan parti tersebut.

Beliau menambah, cubaan Pas untuk menghidupkan semula konsep Muafakat Nasional (MN) didakwa kerana ingin menjalin semula hubungan dengan UMNO dan parti-parti berasaskan Melayu yang lain, sambil menjauhkan diri daripada Bersatu.

Ujarnya, Pas beranggapan dengan berbuat demikian mereka dapat mencapai dua objektif serentak iaitu memutuskan hubungan dengan Bersatu dan pada masa yang sama bergerak ke arah MN 2.0.

Namun beliau mendakwa, keperluan untuk menerima MN 2.0 kelihatan sebagai faktor sampingan semata-mata.

“Objektif utama nampaknya adalah untuk menghalang Bersatu daripada muncul sebagai kuasa dominan dalam blok pembangkang,” katanya.

Tambah Ramasamy, pemenang terbesar dalam kemelut yang dicetuskan Pas itu pastinya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika gabungan Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya akan datang, maka Anwar mempunyai sebab untuk berterima kasih kepada Pas atas perkembangan tersebut,” katanya.

 

 

 

Scroll to Top