PETALING JAYA: Pas menyambut baik langkah Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang secara terbuka memberi penjelasan berhubung dakwaan beberapa pihak termasuk agensi media dan portal bebas terhadapnya yang berkaitan isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah tersebut amat tepat kerana ia berkaitan integriti SPRM sebagai sebuah badan penguat kuasa pencegahan rasuah yang utama di negara ini.
Katanya, kenyataan terbuka Ketua Pesuruhjaya SPRM tersebut yang berupa penafian terhadap tuduhan berkenaan diharapkan dapat menghentikan tindakan beberapa pihak yang kelihatan sengaja membangkitkan isu itu bagi menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat sekali gus menggugat kestabilan negara di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Dengan ini juga beban pembuktian terletak ke atas pihak yang masih terus membuat dakwaan yang serupa bagi membuktikan segala tuduhan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan berasas, sekiranya tidak, ia adalah sekadar tuduhan melulu.
“Pas yakin pihak berkuasa akan meneliti kenyataan tersebut dan menilai serta seterusnya mengambil tindakan yang adil kepada semua pihak berdasarkan fakta dan undang-undang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sebelum ini, Azam menjelaskan menjelaskan isu adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham tidak harus menjadi isu dan memaklumkan sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka dan ia tidak menjadi satu kesalahan untuk berbuat demikian.



