nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: PAS menegaskan parti itu tidak memihak atau berada dalam mana-mana kem, susulan pemecatan pimpinan dan ahli BERSATU.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyudin Hassan berkata, parti itu juga tidak mencampuri kemelut yang berlaku dalam BERSATU.
“Jika ada yang mengatakan PAS berada di pihak atau kem Datuk Seri Hamzah Zainuddin, itu adalah tidak benar kerana kita tidak memihak kepada mana-mana pihak atau berada dalam kem mana-mana.
“Bukan hanya dalam BERSATU, parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) pun kita tidak campur tangan, sebaliknya hanya menguruskan parti sendiri.
“Semua kem dan parti dalam PN boleh pergi (datang) di Rusila,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Klinik Hayat 24 Jam Cherang di sini, hari ini.
Media semalam melaporkan, seramai 17 pemimpin BERSATU dipecat keahlian mereka oleh Lembaga Disiplin parti itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan, kepada Presiden Tan Sri Muhyiddin Yasin menerusi satu notis bertajuk ‘Makluman Keputusan Lembaga Disiplin Terhadap Laporan Pelanggaran Perlembagaan’ yang bertarikh semalam.
Senarai penuh yang dikongsikan Lembaga Disiplin parti itu membabitkan pemecatan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut, selain tiga lagi Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
© New Straits Times Press (M) Bhd




