Banda Aceh: Sepasang kekasih disebat secara terbuka di wilayah Aceh, Indonesia pada 7 April, semalam, kerana melakukan hubungan seks di luar perkahwinan.
Hukuman itu dilaksanakan di sebuah taman awam di ibu kota wilayah, Banda Aceh dengan puluhan orang menyaksikan.
Difahamkan, lelaki dan wanita yang umurnya tidak didedahkan itu masing-masing menerima 100 sebatan rotan.
Pegawai dari pejabat pendakwa raya tempatan, Rajesh Kana berkata, undang-undang Islam dilaksanakan di Aceh dan hukuman perlu dijalankan apabila ia dilanggar.
Katanya, hukuman itu adalah sebatan yang baru sahaja dilaksanakan terhadap pesalah terbabit.
Hubungan seksual antara individu yang belum berkahwin adalah dilarang di Aceh.
Menurut wartawan AFP di lokasi kejadian, polis menyebat pasangan itu menggunakan rotan.
Mereka adalah antara enam individu yang disebat pada 7 April.
Dalam pada itu, empat individu lain menerima antara lapan hingga 29 sebatan bagi kesalahan seperti melakukan sentuhan fizikal dengan individu berlainan jantina atau meminum alkohol.
Sementara itu, seorang wanita yang dijatuhi hukuman 27 sebatan, pengsan pada sebatan terakhir dan terpaksa menerima rawatan daripada paramedik.
Hukuman sebatan masih mendapat sokongan kuat di Aceh untuk menghukum pelbagai kesalahan termasuk perjudian dan hubungan seks sejenis.
Pada Januari, polis syariah di Aceh menyebat sepasang kekasih yang belum berkahwin sebanyak 140 kali setiap seorang, dipercayai hukuman paling berat sejak undang-undang syariah dilaksanakan di wilayah itu pada 2015.
Indonesia adalah negara dengan majoriti penduduk Islam terbesar di dunia namun secara rasmi mengiktiraf enam agama serta kepercayaan pribumi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




