Port Dickson: Polis menahan sepasang kekasih selepas disyaki terbabit menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian seorang bayi perempuan di sebuah rumah di Telok Kemang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Maslan Udin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Port Dickson pada 11.13 pagi mengenai seorang pesakit perempuan warga tempatan melahirkan anak tetapi bayinya gagal dikesan.
Beliau berkata, siasatan lanjut yang dijalankan menemukan bayi berkenaan disembunyikan dalam beg di bilik sebuah rumah di sini.
“Pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas bayi perempuan yang sudah cukup sifat namun bayi itu disahkan meninggal dunia dan terdapat kecederaan pada bahagian dada disyaki kesan objek tajam.
“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Siasatan Khas (D9) IPKNS dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) membuat tangkapan ke atas seorang wanita berusia 18 tahun dan lelaki tempatan, 21 tahun, di dua lokasi berasingan pada 8.30 hingga 8.45 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan motif kejadian disebabkan rasa bimbang serta takut dengan keluarga.
Maslan berkata, turut dirampas adalah uri, pakaian, senjata dan telefon bimbit bagi siasatan lanjut serta kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson untuk permohonan reman pagi ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd