Pasangan kelapan dunia mangsa terbaru Zi Yu-Noraqilah

Pasangan kelapan dunia mangsa terbaru Zi Yu-Noraqilah

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu muda wanita negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan meneruskan aksi cemerlang apabila menyingkirkan pasangan pilihan kelapan kejohanan dari Taiwan pada pusingan pertama Terbuka Australia, hari ini.

Pasangan ranking ke-84 dunia itu mencatat kemenangan 21-19, 13-21, 21-19 ke atas pasangan nombor lapan dunia, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu dalam pertarungan selama 70 minit di Quaycentre, Sydney.

Kejayaan itu menambah satu lagi kemenangan ke atas pasangan kelompok 10 terbaik dunia buat Zi Yu yang baru berusia 15 tahun dan Noraqilah, 19, selepas mereka menewaskan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi yang berada di ranking ketujuh dunia ketika kempen Piala Uber di Horsens, Denmark pada April lalu.

Kemenangan itu juga menyaksikan beregu muda negara membalas dendam ke atas pasangan Taiwan berkenaan yang menyingkirkan mereka pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia sebelum ini.

Mereka akan berdepan pemenang pertemuan sesama pasangan tuan rumah, Jazmine Lam-Lim Yee Yuan atau Sai Tanvi Mushini-Ava Wong bagi merebut tempat ke suku akhir.

Sementara itu, dalam acara beregu lelaki, pasangan negara Chia Wei Jie-Teo Ee Yi yang menghuni ranking ke-152 dunia menewaskan gandingan Indonesia, Muh Putra Erwiansyah-Bagas Maulana 21-18, 23-21 dalam tempoh 45 minit.

Wei Jie-Ee Yi akan membuat perhitungan dengan pemenang aksi sesama pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin atau Chen Cheng Kuan-Liu Kuang Heng pada pusingan kedua.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top