nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kerajaan sentiasa memberi kesedaran dengan pelbagai pendekatan bagi mengekang pasangan dari Malaysia berkahwin di Thailand.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, pada masa sama setiap pasangan juga perlu berfikir secara terperinci sebelum mengambil keputusan berkahwin di negara jiran.
“Isu berkahwin di Thailand ini bukan perkara baharu dan pihak agensi tidak pernah berhenti untuk memberi kesedaran dan terlalu banyak yang kita laksanakan bagi mengekang perkara berkenaan.
“Malah usaha berkenaan kita akan teruskan dan sentiasa melaksanakannya. Saya mengingatkan pasangan yang mahu berkahwin itu (di Thailand) supaya berfikir panjang kerana ini membabitkan nasab.
“Perkara ini perlu diambil serius kerana setiap tindakan kita lakukan ini akan ada akibatnya untuk diri kita dan keluarga,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Ihya’ Ramadan dan Pelancaran Program Pendidikan Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM) di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, ejen yang menguruskan pasangan yang mahu berkahwin atau berpoligami di Selatan Thailand, kini menawarkan pakej 3 dalam 1, termasuk bulan madu di Hatyai, selama tiga hari dua malam dengan caj di antara RM10,000 hingga RM12,000.
Harga dikenakan ejen yang berpangkalan di Malaysia itu meliputi kos pernikahan dan bulan madu di Hatyai, serta pendaftaran nikah di Malaysia.
Pakej yang ditawarkan untuk tiga hari dua malam itu adalah antara yang terbaru diperkenalkan ejen nikah terutama bulan madu, berbanding sebelum ini hanya menguruskan urusan nikah dan pendaftaran perkahwinan di Malaysia sahaja.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat, dilaporkan berkata, lebih 800 pasangan dari Malaysia berkahwin di Selatan Thailand sepanjang tahun lalu, dengan kebanyakannya untuk berpoligami.
Katanya, selain berpoligami, pasangan berkenaan juga dikatakan tidak mendapat restu keluarga sehingga terpaksa berkahwin di Thailand.
© New Straits Times Press (M) Bhd


