Pasangan suami isteri mengaku salah dedah bayi asuhan hingga maut

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pasangan suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan yang diasuh mereka kepada kecederaan fizikal sehingga menyebabkan kematiannya, bulan lalu.

Mohd Iqbal Hassan, 36, dan Norsiayana Abd Samad, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi lelaki berusia tiga bulan 11 hari, mendedahkan bayi berkenaan dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal sehingga menyebabkan kematian.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Cendana 21, Taman Rinting, Masai di sini kira-kira jam 1.03 petang pada 29 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2006, dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shamira Mohd Luthfi Ismail manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi.

Terdahulu, Bharathi memohon jaminan yang minimum buat anak guamnya setelah Mohd Iqbal yang juga pekerja kilang mempunyai pendapatan RM3,000 sebulan manakala Norsiayana memiliki pendapatan kira-kira RM2,000 sebagai pengasuh, mempunyai tanggungan seorang anak berusia empat tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM7,000 bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan bagi pembentangan fakta kes dan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top