am@hmetro.com.my
Kuala Kangsar: Perjalanan pasangan suami isteri warga emas berakhir dengan tragedi apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta dari arah bertentangan yang hilang kawalan, di Kilometer 64, Jalan Ipoh-Taiping dekat Padang Rengas, hari ini.
Dalam nahas kira-kira 10.30 pagi itu, Amir Sharifuddin Md Zahari, 68, dan Harirah Mahmud @ Abdul Samad, 65, disahkan meninggal di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, ketika kejadian, penunggang motosikal, Amir Sharifuddin, bersama pembonceng, Harirah, dalam perjalanan dari arah Taiping menghala bandar ini.
“Ketika melalui lokasi kejadian, kereta (hatchback, Toyota Yaris) yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan lalu merempuh motosikal ditunggangi mangsa itu.
“Penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu kereta itu sudah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nadiah Radenan di talian 017-5491475 atau talian 05-7762222.
© New Straits Times Press (M) Bhd