Pasangan warga Itali terkandas di Taman Negeri Endau Rompin diselamatkan

Pasangan warga Itali terkandas di Taman Negeri Endau Rompin diselamatkan

am@hmetro.com.my

Rompin: Suami isteri warga Itali yang terkandas ketika bercuti di Taman Negeri Endau Rompin berjaya diselamatkan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pasangan Leonardo, 43 dan Gilulia, 42, dikatakan mendaftar masuk ke taman negeri itu, kelmarin.

Katanya, berdasarkan laporan, jalan sepanjang 800 meter ke taman negeri dikatakan mula ditenggelami air kira-kira dua meter pada pagi tadi.

“Laporan diterima pada 9.20 pagi daripada ejen syarikat pelancongan yang memaklumkan tidak dapat memasuki Taman Negeri Endau Rompin kerana laluan utama sepanjang antara 600 hingga 800 meter ditenggelami air.

“Berikutan itu, ia menyukarkan usaha untuk membawa keluar pasangan berkenaan, dan susulan itu dua anggota dari Balai Polis Kuala Rompin bersama empat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke lokasi untuk operasi menyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua warga Itali itu berjaya dibawa keluar dengan menaiki bot pada 1.20 tengah hari dan terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin sebelum diserahkan kepada ejen syarikat pelancongan.

“Selain pasangan Itali itu, terdapat 15 orang membuat keputusan untuk kekal berada di taman negeri itu. Kita akan pantau untuk sebarang keperluan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top