am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Sepasang warga Singapura maut selepas Ferrari dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan di Kilometer 57.5, Jalan Johor Bahru-Mersing, hari ini.
Mangsa yang maut adalah pemandu Yeo Tian Wen, 34, dan penumpang yang dipercayai teman wanitanya, Ng Puay Ying, 33.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 9 pagi hasil laporan orang awam.
“Kemalangan melibatkan kereta jenis Ferrari dipandu lelaki terbabit bersama-sama wanita di tempat duduk depan penumpang.
“Kereta itu dipercayai terbabas sendiri lalu kemalangan dan mengakibatkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan, terbakar dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




