Hamilton: Ketua Pakar Ekonomi Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran pada Khamis bahawa kesan ke atas pasaran komoditi global memerlukan masa berbulan-bulan untuk kembali stabil, biarpun konflik di Selat Hormuz berakhir serta-merta.
“Sekiranya konflik terhenti hari ini, tempoh dua hingga tiga bulan diperlukan bagi menstabilkan kos ini,” jelas Maximo Torero semasa taklimat maya berkaitan krisis di Asia Barat dan implikasinya.
Torero memaklumkan bahawa krisis ini mencetuskan antara gangguan aliran komoditi global paling pantas dan teruk sejak kebelakangan ini. Menurutnya, dalam masa beberapa hari sahaja, trafik melalui Selat Hormuz menjunam sehingga 90 peratus, sedangkan laluan itu kebiasaannya membawa 20 juta tong minyak setiap hari.
“Laluan itu mengendalikan 35 peratus minyak mentah, satu perlima gas asli LNG dunia dan sehingga 30 peratus perdagangan baja antarabangsa,” katanya sambil menekankan kepentingan saluran strategik itu bagi keterjaminan makanan sejagat.
Mengulas mengenai garis masa kesan krisis, beliau berkata sekiranya segala kemelut selesai dalam tempoh dua minggu, pasaran mampu menyerap impak sekali gus meminimumkan risiko keselamatan makanan atau kesan ekonomi bagi musim penanaman akan datang.
“Namun, jika krisis berlarutan tiga hingga enam bulan, ia pasti memberi kesan bukan sahaja kepada sektor makanan, malah ia turut menjejaskan semua sektor lain serta input pengeluaran,” tambahnya.
Torero turut menarik perhatian terhadap kerentanan negara yang amat bergantung kepada kiriman wang pekerja dari rantau Teluk seperti Nepal, Jordan, Lubnan, Pakistan, Mesir dan Sri Lanka. Beliau bimbang pekerja di sana bakal kehilangan pekerjaan dan tidak lagi mampu menghantar wang ke tanah air.
Beliau juga menamakan Turkiye dan Jordan sebagai negara berisiko tinggi berikutan kalendar tanaman dan kebergantungan import yang tinggi, selain Lubnan yang berdepan kesukaran bertindan. Beliau menggesa penyelesaian segera dicapai memandangkan pasaran masih mempunyai bekalan makanan yang mencukupi buat masa ini.
Menjawab soalan Anadolu mengenai kesan bencana perubahan iklim di tengah-tengah konflik, Torero memberi amaran mengenai kemungkinan gabungan faktor bencana jika fenomena El Niño yang kuat berlaku serentak dengan krisis sedia ada. Katanya, gabungan kesan iklim dan peningkatan kos input akan memburukkan lagi keadaan secara drastik.
© New Straits Times Press (M) Bhd



