Pasaran modal tempatan dijangka kekal berdaya tahan

Pasaran modal tempatan dijangka kekal berdaya tahan

mahanum_aziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pasaran modal domestik dijangka kekal berdaya tahan dan teratur, didukung oleh asas makroekonomi Malaysia yang kukuh, kecairan domestik yang mencukupi dan infrastruktur pasaran modal yang mantap untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada 2021.

Prospek bagi pasaran modal domestik akan terus dipengaruhi oleh perkembangan utama di peringkat global, dengan ketidaktentuan didorong terutama oleh ketidakpastian berkaitan pandemik dan kadar serta kemampanan pemulihan ekonomi domestik.

Namun begitu, pasaran modal Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi melalui pembiayaan perniagaan dan infrastruktur, dan ia bertindak sebagai medium yang berkesan untuk mobilisasi tabungan.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar, berkata bagi 2021, pihaknya akan terus memberi tumpuan untuk memelihara integriti pasaran dan menggalakkan pemerkasaan pelabur, termasuk meningkatkan kewaspadaan terhadap salah laku pasaran dan pengesanan aktiviti tidak berlesen.

Beliau berkata, keutamaan pembangunan SC merangkumi usaha untuk memudahcarakan inovasi pasaran ke peringkat seterusnya dan model perniagaan baharu, di samping meningkatkan penggunaan digital pasaran modal dan kepelbagaian produk dan perkhidmatan Pelaburan Mapan dan Bertanggungjawab (SRI) dan Islam.

“Kami akan terus memperluas akses kepada pengumpulan dana alternatif untuk menyokong usahawan dan PKS yang baru berkembang maju, termasuk mereka yang berada dalam industri halal dan hijau,” katanya dalam perutusan Laporan Tahunan 2020 SC.

Syed Zaid berkata, pembangunan teknologi kewangan (fintech) Islam adalah satu lagi bidang yang akan diselidiki oleh SC bersama dengan peserta pasaran yang berpotensi.

Beliau berkata, sejajar dengan usaha pendigitan industri, pengawal selia pasaran modal itu akan terus mengukuhkan kemampuan kami dalam bidang analitik data lanjutan dan pembelajaran mesin, komunikasi strategik, dan penguatkuasaan.

Di samping itu, katanya, dengan berkembangnya instrumen dan perkhidmatan digital, penggalakan tadbir urus data dan pengukuhan daya tahan siber dalam kalangan pengantara berlesen adalah satu lagi bidang tumpuan utama SC.

“Pelabur rentan, khususnya warga emas dan mereka yang tinggal di luar bandar, akan menjadi tumpuan utama kami dalam program mendekati pelabur. Kami yakin inisiatif ini akan menjadikan pasaran modal yang lebih inklusif dan mengurangkan impak jurang digital,” katanya.

Syed Zaid berkata, SC juga akan memperkemas keperluan tatalaku bagi semua peserta pasaran, yang akan merangkumi semakan terhadap skop khidmat nasihat pelaburan dan amalan tadbir urus korporat bagi pengantara pasaran.

“Komitmen dan sokongan yang padu daripada warga kerja SC, Pasukan Eksekutif saya, serta ahli lembaga SC dan Majlis Penasihat Syariah (SAC), telah membolehkan SC meneruskan operasinya dengan lancar dan memenuhi mandatnya walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang tahun ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas dedikasi dan kegigihan mereka dalam melaksanakan tugas. Tidak kurang pentingnya, komitmen dan kerjasama daripada pengantara pasaran dalam memastikan integriti dan kelangsungan fungsi pasaran modal kita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top