Pasca banjir: Tempuh laluan berlumpur 120 km hantar bantuan

Pasca banjir: Tempuh laluan berlumpur 120 km hantar bantuan

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Lebih 30 anggota dan pegawai polis menempuh perjalanan lebih 120 kilometer (km) termasuk jalan berlumpur untuk menghantar lebih satu tan bekalan makanan asas kepada penduduk Kampung Miak di sini, yang terjejas banjir baru-baru ini.

Misi bantuan yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo itu turut disertai Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dan mendapat kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Kampung Miak dipilih kerana terletak jauh di kawasan pedalaman.

“Bantuan makanan yang dihantar termasuk beras, gandum, gula dan minyak masak yang dihantar menggunakan lapan kenderaan pacuan empat roda.

“Ini misi bantuan yang agak jauh, malah kami menempuh perjalanan sukar, yang mana beberapa kenderaan terpaksa ditarik selepas tersangkut dalam lumpur dalam perjalanan pulang,” katanya ketika ditemui di Kampung Miak, di sini, hari ini.

Sik berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat dan NGO untuk menyumbang kepada ‘Tabung Makanan IPD Gua Musang’.

“Sumbangan ini diharap dapat mengurangkan beban penduduk di kawasan ini.

“Walaupun terletak jauh di pedalaman, kebajikan mereka tidak pernah di lupakan,” katanya.

Sementara itu wakil penduduk, Tg Usri Tg Hamzah, 56, berkata, sumbangan ini akan digunakan sebaiknya serta secara berjimat cermat untuk menghadapi gelombang banjir seterusnya.

“Dalam kejadian banjir baru-baru ini, kami tidak dapat keluar dari kampung selama seminggu kerana jalan rosak.

“Hasil kerjasama penduduk bergotong royong, laluan ini boleh digunakan untuk keluar ke bandar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top