PASPA APM sedia digerakkan ke Myanmar

PASPA APM sedia digerakkan ke Myanmar

mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersedia untuk digerakkan bagi bantuan menyelamat dan kemanusiaan di Myanmar susulan gempa bumi kuat yang melanda tengah negara itu, semalam.

Gempa bumi yang berkekuatan 7.7 magnitud mengakibatkan kemusnahan teruk di beberapa kawasan, selain kehilangan nyawa dan menjejaskan jutaan penduduk.

Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya dalam mod siap sedia untuk menggerakkan pasukan khas bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa.

Menurutnya, pasukan itu terdiri daripada anggota terlatih yang berpengalaman dalam pengurusan bencana, termasuk pegawai perubatan, penyelamat, serta pakar logistik.

“Pada masa ini, APM masih menunggu arahan rasmi daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan ke lokasi bencana pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.

“Kami bersedia sepenuhnya untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Myanmar yang terjejas akibat bencana ini. Pasukan kami telah dilengkapi dengan peralatan khas bagi menjalankan operasi SAR serta menyalurkan bantuan kecemasan dengan pantas dan berkesan.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut meninjau persiapan pegawai dan anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA), termasuk penyediaan peralatan misi ke Myanmar.

Sementara itu, Kapten (PA) Rageshwaran Maniam berkata, APM turut dilengkapi aset canggih seperti Leader Sentry untuk mengesan kestabilan struktur bangunan, Leader Hasty yang menggunakan teknologi tanpa wayar bagi mengesan mangsa tertimbus, serta Lighting Drone, yang berfungsi sebagai pencahayaan kecemasan dan pemantauan video dalam operasi malam.

“Peralatan ini direka untuk meningkatkan keberkesanan operasi menyelamat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top