Pasport 10 tahun diteruskan, hanya tambahan lebih 10 tahun dihentikan – JIM

PUTRAJAYA – Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) bagi tempoh 10 tahun tidak dihentikan, sebaliknya adalah tambahan tempoh melebihi 10 tahun sahaja, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.

Menurutnya, pelaksanaan pasport bagi tempoh 10 tahun diteruskan seperti biasa sebagaimana ia bermula pada 1 Julai lalu.

“Tapi, yang kita hentikan ialah tambahan tempoh melebihi 10 tahun, maksudnya ada pembaharuan PMA untuk 10 tahun sebelum ini kita bagi tambahan enam bulan.

“Kenapa kita bagi extra (tambahan)? Pertama, kerana kita mengambil kira baki pasport mereka yang sebelum dia tukar itu ada baki enam bulan.

“Jadi, supaya tidak merugikan rakyat Malaysia yang ada baki itu, jadi kita berilah tambahan enam bulan itu,” katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Setia Perkasa di sini pada Khamis.

Tambahnya, bagaimanapun, perkara itu menimbulkan kesulitan kerana sistem yang diguna pakai oleh pihak dua syarikat penerbangan berkaitan tidak dapat mengesahkan tempoh pasport yang melebihi daripada 10 tahun.

Kata Zakaria, JIM menawarkan penggantian secara percuma kepada mereka yang telah menerima pasport bagi tempoh 10 tahun enam bulan.

“Bagi yang 10 tahun genap tak ada masalah. Maksudnya, tempoh daripada tarikh dikeluarkan sehingga tarikh tamat itu tepat 10 tahun, jadi yang itu tidak ada masalah untuk melakukan perjalanan.

“Pemberhentian tempoh lebih 10 tahun juga hanya sementara sehingga pemakluman terbaharu daripada syarikat penerbangan terbabit,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa PMA tidak mempunyai masalah dengan negara lain.

“Isu yang kedua yang menjadi kekeliruan, seolah-olah pasport kita tidak diterima oleh negara lain. Jadi ini juga satu saya kira tidak betul di mana sebenarnya kita tak ada masalah penerimaan dengan pihak negara luar.

“Semua negara terima pasport kita walaupun tempohnya lebih daripada 10 tahun. Itu asasnya,” ujarnya.

Scroll to Top