am@hmetro.com.my
Kulim: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunggu laporan penuh siasatan ‘pasport terbang’ susulan penahanan beberapa anggota penguat kuasa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) semalam.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain untuk menguruskan kes itu mengikut prosedur ditetapkan.
“Saya akan minta laporan penuh nanti daripada AKPS. Sekarang baru hari ke-25 (beliau memimpin jabatan itu), biar dia uruskan dulu.
“Saya percaya kita telah meletakkan orang yang betul pada tempatnya,” katanya katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dataran Kulim di sini, hari ini.
Sementara itu, Saifuddin turut menyentuh mengenai kritikan awal terhadap pelantikan Shuhaili, yang sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk menerajui AKPS.
Katanya, beliau tidak akan melayan tohmahan sedemikian, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Pengarah AKPS untuk menjalankan tugas dengan bebas dan tegas.
Semalam media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 ketika bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motosikal di sempadan Johor-Singapura.
Suspek lelaki berusia 20 hingga 40-an itu ditahan selepas siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam urusan keluar masuk pasport tanpa kehadiran pemilik atau pasport terbang.
© New Straits Times Press (M) Bhd