PasRelief berjaya siapkan 36 rumah kontena untuk mangsa gempa Turkiye

PasRelief berjaya siapkan 36 rumah kontena untuk mangsa gempa Turkiye

SEPANG – Pusat bantuan kemanusiaan antarabangsa iaitu PasRelief berjaya menyumbang sebanyak 36 buah rumah kontena menerusi misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye.

Pengarah PasRelief, Mohd. Yusni Matpiah berkata, kos untuk sebuah rumah kontena adalah RM30,000 yang merupakan hasil sumbangan dalam menjayakan misi kemanusiaan tersebut.

Beliau yang juga Pengarah Sekretariat Tabung Aid4Turkiye&Syria memberitahu, pembinaan rumah kontena itu bermula pada April lalu menerusi misi kedua PasRelief yang diketuai Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kehadiran PasRelief pada misi kelima ini akan memantau perkembangan pembinaan rumah kontena yang kini berjumlah 36 buah.

“Mengikut jadual awal misi, kami juga merancang untuk memasuki Syria menerusi sempadan Turkiye yang turut terjejas kesan gempa bumi,.

”Ini kerana pada misi sebelum ini, PasRelief hanya sampai di sempadan Turkiye atas faktor keselamatan,” katanya.

Mohd. Yusni Matpiah (kiri) dan Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette sebelum berlepas ke misi bantuan pasca gempa bumi Turkiye-Syria ke Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi ini.

Selain Mohd. Yusni, turut menyertai misi kali ini adalah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Berdasarkan jadual misi ini, PasRelief akan tiba di Istanbul sebelum bergerak ke dua lokasi iaitu Pusat Gempa Bumi Kharamanmaras dan Hatay di sempadan Turkiye.

Misi seramai sembilan termasuk dua wakil wartawan dan jurugambar MalaysiaGazette dijangka pulang ke tanah air pada 7 Jun ini.

Empat misi sebelum ini menyaksikan PasRelief menyalurkan bantuan pasca gempa bumi dengan memfokuskan penyediaan rumah sederhana kekal daripada kontena, bantuan makanan serta pakaian untuk musim.

Sementara itu, Muhammad Khalil Abdul berkata, PasRelief merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa parti itu yang akan bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi kemanusiaan di luar negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang dalam menjayakan misi kemanusiaan tersebut.

Kata beliau menjadi tangggungjawab sesama Islam untuk membantu saudara seagama yang ditimpa musibah di luar negara. – MalaysiaGazette