KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) mengecam keras serangan udara terbaharu rejim Zionis Israel di Gaza yang telah mengorbankan lapan sukarelawan kemanusiaan dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) pada Sabtu lalu.
Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah menegaskan bahawa serangan itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah mencerminkan keganasan berterusan rejim Israel terhadap rakyat Palestin serta mereka yang berusaha membantu.
“Serangan ini adalah satu tindakan biadab yang melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Membunuh sukarelawan yang sedang menjalankan misi kemanusiaan bukan sahaja satu kezaliman yang tidak boleh diterima.
“Malah mencerminkan kerakusan rejim Zionis Israel dalam menindas rakyat Palestin serta mereka yang berusaha membantu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
PASRelief katanya, menegaskan bahawa tindakan kejam itu perlu mendapat kecaman keras daripada seluruh masyarakat antarabangsa kerana kejadian itu bukan sekadar serangan terhadap individu, tetapi satu tamparan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Pulau Pinang itu menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil oleh masyarakat antarabangsa bagi menghentikan kekejaman itu.
“PASRelief menyeru masyarakat antarabangsa untuk tidak terus berdiam diri. Keganasan yang dilakukan oleh Israel mesti dihentikan melalui tekanan politik, tindakan diplomatik yang lebih tegas, serta langkah perundangan di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Dalam pada itu, PASRelief katanya, turut menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar roh para syuhada ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Semoga keluarga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
PASRelief juga jelasnya memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus komited dalam membantu rakyat Palestin yang teraniaya dan mengajak rakyat Malaysia untuk terus menyalurkan bantuan serta berdoa agar saudara di Gaza diberi perlindungan dan kemenangan. – HARAKAHDAILY 19/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!








