'Pastikan pemain warisan benar-benar ada darah kacukan Malaysia'

'Pastikan pemain warisan benar-benar ada darah kacukan Malaysia'

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad bola sepak kebangsaan wajar terus membuka pintu kepada pemain warisan untuk menyarung jersi Harimau Malaya, namun proses pemilihan perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan mereka benar-benar mempunyai darah kacukan Malaysia.

Pandangan itu disuarakan bekas tonggak Harimau Malaya, Razman Roslan yang menyifatkan usaha memburu pemain warisan bukan perkara baharu, malah sudah menjadi amalan di pentas antarabangsa.

Menurut Razman, kehadiran pemain warisan tidak seharusnya dilihat sebagai masalah selagi mereka benar-benar layak dan mampu memperkuatkan pasukan negara.

“Secara peribadi, kalau ada pemain berdarah warisan (baharu) untuk hadir (menguatkan Harimau Malaya), saya rasa tiada masalah kerana negara besar pun buat benda sama.

“Cuma, kalau boleh kita nak yang betul-betul ada (darah kacukan Malaysia), jika tiada, saya percaya kita masih ada ramai pemain tempatan yang berkualiti,” katanya.

Razman berkata, keputusan perlawanan mungkin tidak sama sekiranya skuad kebangsaan hanya dibarisi sepenuhnya pemain tempatan, namun beliau melihat situasi semasa tetap memberi petanda positif kepada pembangunan bola sepak negara.

Katanya, kehadiran pemain warisan mampu memberi gambaran kepada pemain di peringkat akar umbi bahawa peluang untuk mewakili negara tetap terbuka sekiranya mereka mampu menyerlah.

“Mungkin keputusan (perlawanan) tidak sama jika kita gunakan 100 peratus pemain tempatan.

“Namun, situasi ini bagus kerana memberi gambaran bahawa mereka yang lahir di peringkat akar umbi ada peluang untuk mewakili skuad kebangsaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan skuad Harimau Malaya masih giat menjejaki pemain berdarah kacukan selepas dikaitkan dengan beberapa tonggak muda kelahiran England.

Antara nama disebut-sebut berpotensi menyertai skuad kendalian Peter Cklamovski ialah bekas pemain akademi Arsenal, Josh Robinson selain tonggak remaja West Ham, Harry Montague.

Selain pemain warisan, beberapa pemain import yang beraksi dalam Liga Malaysia dilihat berpotensi untuk dinaturalisasikan, antaranya Bergson Da Silva, Giancarlo Gallifuoco, Manuel Hidalgo dan Alex Agyarkwa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top