am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Polis Terengganu mengingatkan semua pengusaha bot untuk memastikan pemandu bot mereka tidak terbabit dalam apa-apa jenayah terutama berkaitan dadah.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, ia susulan siasatan mendapati pemandu bot terbabit kejadian bot karam hingga mengorbankan tiga penumpang di perairan Pulau Perhentian, Besut, semalam mempunyai rekod jenayah.
“Lelaki berusia berusia 20-an itu mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
” Jadi, polis dan agensi lain akan sentiasa mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di sini, hari ini.
Mohd Khairi berkata, pihaknya bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut Malaysia juga sentiasa bekerjasama memastikan penguatkuasaan undang-undang termasuk dalam kalangan pengusaha bot pelancong.
Katanya, ia termasuk memastikan semua penumpang memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot terutama di pulau peranginan.
“Selain itu, memastikan pengusaha bot beroperasi mengikut masa ditetapkan, mengikut peraturan bot dan teksi air atau teksi bot tidak boleh beroperasi selepas jam 6.30 petang.
“Tapi difahamkan kejadian berlaku jam 11 malam, maknanya sudah melanggar peraturan.
“Lebih penting pastikan tidak membawa penumpang melebihi kapasiti,” katanya sambil menasihatkan pengusaha bot supaya tidak beroperasi ketika laut bergelora dan cuaca buruk kerana mendatangkan risiko kepada penumpang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




