Shah Alam: Kejohanan Chairman Cup 2026 yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor semalam dan hari ini berjaya menghimpunkan seramai 36 pemain yang dibahagikan kepada dua pasukan, Pasukan Merah dan Pasukan Biru, dalam pertandingan berformat Ryder Cup yang kompetitif dan berimpak tinggi.
Kejohanan terbabit sebahagian daripada inisiatif National Junior Development Programme (NJDP) MGA dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, bertujuan memberi pendedahan awal kepada pemain-pemain junior untuk bersaing dalam suasana kejohanan berpasukan yang mencabar dari segi teknikal dan mental.
Chairman Cup 2026 yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor memberi peluang bermakna kepada pemain-pemain junior dari Akademi PKNS untuk beraksi bersama pemain NJDP yang lebih senior, sekali gus mewujudkan proses pembelajaran secara langsung di atas padang.
Format match play yang digunakan menuntut pemain membuat keputusan strategik di bawah tekanan, di samping memupuk disiplin, keyakinan diri dan semangat berpasukan.
Sepanjang dua hari kejohanan, pertandingan merangkumi format Fourball, Foursome dan Individual Match Play.
Keputusan keseluruhan menyaksikan Pasukan Biru muncul juara dengan jumlah mata 20.5, menewaskan Pasukan Merah yang mengumpul 15.5 mata, selepas persaingan sengit sehingga ke perlawanan terakhir.
Penganjuran Chairman Cup 2026 membuktikan komitmen berterusan NJDP dan rakan strategik seperti Akademi PKNS dalam membina asas kukuh pembangunan golf junior negara.
Kejohanan seumpama ini bukan sekadar platform pertandingan, malah menjadi medan pembentukan karakter, ketahanan mental dan kepimpinan pemain muda sebagai persediaan menghadapi kejohanan di peringkat lebih tinggi, sama ada kebangsaan mahupun antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




