Pasukan forensik PDRM gali kubur Zara Qairina bermula jam 5.30 petang

Pasukan forensik PDRM gali kubur Zara Qairina bermula jam 5.30 petang

am@hmetro.com.my

Sipitang: Proses penggalian semula kubur Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Ubi, Mesapol Lama, di sini, bermula kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Ibu bapa arwah bersama peguam tiba di lokasi pada jam 5.24 petang sebelum pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan kerja penggalian.

Pasukan forensik dilihat lengkap memakai sut perlindungan diri (PPE) berwarna putih ketika melakukan proses berkenaan.

Penggalian dilakukan bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan selepas tiada bedah siasat dilakukan terhadap arwah ketika kematiannya pada 16 Julai lalu.

Sumber memaklumkan, jenazah dipercayai akan dibawa ke Hospital Sipitang sebaik proses penggalian selesai.

Maklumat itu turut disahkan menerusi pemerhatian petugas trafik yang mengiringi kenderaan dari lokasi tanah perkuburan ke simpang utama keluar kampung.

Proses ini adalah sebahagian daripada arahan melengkapkan siasatan semula kes kematian arwah yang sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan insiden buli di sebuah sekolah di Papar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top