asmaini@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang terdiri daripada 11 anggota akan dihantar ke Nepal seawal esok.
Pasukan berkenaan akan dilengkapi dengan dron berkeupayaan tinggi dan peralatan khusus bagi membantu operasi yang dikendalikan oleh pihak berkuasa Nepal di kawasan yang memerlukan kepakaran teknikal serta keupayaan operasi khusus.
Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata, ia susulan kelulusan rasmi oleh kerajaan Nepal dan tertakluk kepada keperluan operasi serta keadaan keselamatan.
Katanya, pasukan sokongan tambahan Kementerian Luar juga sudah tiba di Kathmandu dan sedang membantu Kedutaan Besar Malaysia dalam penyelarasan dengan pihak berkuasa di Nepal berhubung usaha pencarian serta pengecaman rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
“Di Malaysia, persediaan berkaitan proses pengecaman juga sedang dilaksanakan, termasuk pengambilan dan analisis sampel DNA daripada waris terdekat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia Malaysia dengan penyelarasan oleh kementerian.
“Kerajaan juga akan menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$1 juta (RM4.04 juta) kepada Nepal seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kementerian menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sementara usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan lokasi rakyat Malaysia yang terbabit masih diteruskan,” katanya.
Menurut Wisma Putra lagi, sehingga hari ini rekod semasa kementerian kekal 55 rakyat Malaysia yang dilapor masih gagal dihubungi.
“Maklumat mengenai kes individu terus disampaikan secara langsung kepada keluarga masing-masing, manakala perkembangan yang dimaklumkan kepada orang ramai tertumpu kepada maklumat yang sudah disahkan dan boleh dikongsi secara lebih meluas,” katanya.
Sementara itu, Wisma Putra juga terus mendapatkan pengesahan melalui saluran diplomatik dengan Kerajaan China berhubung kemungkinan pertindihan antara laporan mengenai rakyat Malaysia di Nepal dengan laporan mengenai rakyat Malaysia di Tibet, China.
Katanya, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing kekal berhubung dengan pihak berkuasa China, manakala kementerian turut berhubung dengan Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur bagi mendapatkan penjelasan rasmi.
“Malaysia juga bersedia menyediakan kepakaran mencari dan menyelamat yang bersesuaian sekiranya bantuan itu diperlukan oleh pihak berkuasa China,” katanya.
Tindak balas Malaysia terhadap bencana berkenaan diselaraskan Kementerian Luar dengan sokongan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), PDRM, Jabatan Kimia Malaysia dan agensi-agensi berkaitan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
