Kuala Lumpur: Malaysia menghantar pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Myanmar, hari ini, bagi melaksanakan Operasi Bantuan Kemanusiaan (Operasi Starlight III) susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, sebanyak 69 orang terdiri daripada 16 pegawai dan 53 anggota daripada pelbagai kepakaran antaranya Forward Anaesthesia and Surgical Team (FAST) Hospital Medan Malaysia, elemen dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bersama pasukan keselamatan.
Beliau berkata, pasukan yang diketuai Kolonel Dr Ahmad Farhan Ahmad Fuad sebagai pemerintah operasi itu turut membawa keperluan peralatan merangkumi Hospital Medan Tahap Dua, kit perubatan, komunikasi, teknikal, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua trak membabitkan muatan 18 tan.
“Perancangan melaksanakan (Hospital Medan) untuk tempoh sebulan pertama iaitu 30 hari dan selepas itu akan membuat penilaian berdasarkan pemerhatian di lapangan bagi keperluan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas upacara pelepasan aturgerak Hospital Medan Malaysia ke Operasi Bantuan Kemanusiaan di Myanmar di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, Hospital Medan berkenaan akan beroperasi di kawasan Sagaing, Myanmar dan tidak menolak kemungkinan lokasi itu berubah berdasarkan keadaan semasa.
Dr Zulkeffeli berkata, pasukan itu mengambil masa 72 jam untuk melakukan persediaan bagi mengaktifkan misi itu sebelum berlepas kerana mengambil kira pelbagai faktor termasuk keselamatan, bekalan air dan elektrik terhad di kawasan yang menempatkan Hospital Medan.
“Bagi faktor keselamatan, kita sudah mengambil kira perkara itu kerana keadaan di Myanmar ada kawasan sedang bergolak dan kerajaan Myanmar telah memastikan kawasan penempatan sudah diaturgerak itu adalah selamat,” katanya.
Operasi Starlight III diaturgerak dari Pangkalan Udara Subang menggunakan dua pesawat Airbus A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan masing-masing berlepas pada 4.45 pagi dan 5.15 pagi.
Kedua-dua penerbangan ini dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Mandalay, Myanmar, pada 7.30 pagi dan 8 pagi hari ini, waktu Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd