am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, mengetuai delegasi ke Thailand dan Kemboja bagi mengadakan perbincangan diplomatik dengan kedua-dua negara, susulan gencatan senjata yang dicapai semalam.
Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan Markas ATM berkata, satu mesyuarat antara Komander-Komander Serantau kedua-dua negara turut berlangsung pada jam 10 pagi tadi, dengan pihak-pihak terbabit mencapai persetujuan semula dalam beberapa perkara.
“Walaupun gencatan senjata dilaksanakan, beberapa pertempuran kecil turut dilaporkan sejurus selepas ia dikuatkuasakan.
“Namun begitu, selepas satu mesyuarat antara Komander-Komander Serantau, kedua-dua negara terbabit mencapai persetujuan semula untuk mengekalkan perjanjian gencatan senjata, melarang serangan terhadap orang awam,
“Menghentikan sebarang penambahan kekuatan tentera, melarang pergerakan pasukan ketenteraan, memudahkan pemulangan anggota yang tercedera dan terkorban.
“Persetujuan juga dicapai untuk menubuhkan pasukan penyelarasan yang terdiri daripada empat wakil dari setiap pihak, dan menunggu perbincangan serta keputusan lanjut berdasarkan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos depan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, delegasi Malaysia akan meneruskan perjalanan ke Phnom Penh bagi mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Kemboja.
© New Straits Times Press (M) Bhd