Patah 2 belah kaki, pemuda terharu sahabat2 sanggup ‘dukung’ bawa berjalan

Baru-baru ni, tular kisah tentang nasib malang yang menimpa seorang pemuda dari Kelantan ini apabila kedua-dua kakinya patah akibat terjatuh sewaktu membaiki atap rumah keluarganya, pada 25 Januari lalu.

Memetik temubual mStar, pemuda bernama Khairi Fikri Kamaruzaman itu telah menjalani pembedahan pada 25 Februari lalu dan kini terpaksa mengayuh kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya.

“Saya jatuh ketika tukar atap bocor. Keluarga minta tolong tukar. Perasaan sangat sedih sebab dah biasa berjalan dengan kaki, sekarang kena pakai kerusi roda,” luahnya.

Bagaimanapun, pemuda berusia 24 tahun itu menzahirkan rasa syukur kerana dikelilingi sahabat yang sangat baik serta sanggup melakukan apa sahaja untuk dirinya.

“Dalam tempoh awal sakit, saya rasa tekanan. Macam-macam bermain di fikiran. Mujurlah ada sahabat saya, sanggup dunkung dan usung saya untuk keluar jalan-jalan.
“Dia bawa saya pergi pantai, makan-makan dan menghadiri kenduri. Sebelum ini saya rasa ‘down’ sebab terperap lama dalam bilik,” katanya ketika ditemubual mStar.

Tambahnya lagi, dia dan sahabatnya yang dikenali sebagai Amin Baihaqi sudah mengenali satu sama lain sejak 5 tahun lalu. Selain Amin, dia turut bersyukur memiliki seorang lagi sahabat, Mohd Aidil yang banyak membantu dirinya.

“Ada seorang lagi kawan saya, balik kerja akan datang ke rumah saya. Dia tidur di rumah saya. Malam sebelum tidur dia akan buat susu.
“Esok sebelum pergi kerja dia kejutkan saya bangun solat Subuh. Saya terharu bila ada orang korban masa untuk jaga saya,” katanya sayu.

Fikri memberitahu dia berasa sangat bersyukur dikurniakan sahabat yang bayak memberi sokongan terhadap dirinya.

“Tak terbalas jasa budi mereka. Hanya Allah yang mengerti. Dalam 1,000 kawan, tak semuanya boleh digelar sahabat.
Saya syukur dan reda, Allah uji saya begini tetapi Allah atur jalan yang cukup baik. Saya dikurniakan sahabat yang banyak memberi sokongan,” ujarnya lagi.

Berkongsi kisah tentang dirinya, Fikri bercerita dia sudah bergelar anak yatim ketika berusia 14 hari dan kini hidup bersama ibu serta neneknya.

“Saya menetap dengan keluarga, tapi saya anak yatim. Ayah sudah tiada. Saya hanya ada dua beradik dan kakak kini kerja di Kuala Lumpur.
“Umi umur 59 tahun kerja kerani. Nenek pula umur 83 tahun. Sementara waktu ini saya kena tutup kedai runcit sebab tiada orang uruskan,” cerita Fikri.

Dalam pada itu Fikri berharap agar dirinya akan sembuh segera supaya dapat melakukan tugas harian seperti biasa.

Sumber: Instagram @keryfikry, mStar Online (Mohd Izat Mohd Khalizan)